Pelan Strategik Pencegahan Rasuah MBSA elak penyelewengan

Sumber: Laman Twitter MBSA

SHAH ALAM: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyediakan Pelan Strategik Pencegahan Rasuah (PSPR) untuk tempoh 2017-2019 sebagai rujukan cabaran menghadapi rasuah dalam pentadbirannya.

Dato’ Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, pembangunan pelan itu diusahakan secara bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dengan merujuk kepada isu dan kepelbagaian cabaran yang dihadapi penjawat awam kini.

“Penyediaan pelan ini dapat mendidik warga kerja MBSA tidak terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dan penyelewengan kuasa serta rasuah yang boleh menjejaskan imej MBSA.

“Sebagai penjawat awam yang bertanggungjawab, kita perlulah berpegang kepada prinsip dan lunas etika yang dapat membendung diri kita daripada terjebak dengan gejala rasuah.

“Justeru, amatlah penting agar penjawat awam berpegang kepada konsep benar dalam mendapatkan keberkatan hidup,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama SPRM di Auditorium MBSA, pagi ini.

Majlis lafaz dan sesi menandatangani IBR disaksikan Pengarah SPRM Selangor, Dato’ Wan Ramli Wan Abdullah.

Terdahulu, Ahmad Zaharin mengetuai 500 kakitangan MBSA melafaz IBR sebagai komitmen memerangi budaya rasuah dalam menjalankan tugas dan perkhidmatan bersama agensi itu.

Sebelum ini, IBR dilaksanakan sebagai inisiatif membentuk kesedaran dan kefahaman mengenai integriti dalam perkhidmatan serta meningkatkan komitmen warga kerja MBSA terhadap peranan membenteras gejala rasuah.

Dalam pada itu, Ahmad Zaharin mengingatkan supaya anggota perkhidmatan awam lebih mengutamakan integriti bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

“Warga kerja MBSA dinasihatkan agar tidak melibatkan diri dalam anasir negatif yang boleh mencemarkan diri juga organisasi.

“Menjadi tanggungjawab dan amanah kepada saya sebagai ketua organisasi untuk memastikan salahguna kuasa atau penyelewengan termasuk rasuah tidak menular dlaam kalangan warga kerja MBSA.

“Saya akan pastikan urusan pentadbiran MBSA berjalan mengikut prosedur ditetapkan lebih-lebih lagi kerja melibatkan proses tender dan sebut harga dan lain-lain lagi,” katanya.-SELANGORKINI

Artikel Berkaitan