Guru pembina negara bangsa

Peranan guru dalam membangunkan modal insan perlu terus diperkasa bagi melahirkan generasi masa depan yang holistik. Gambar hiasan.

Kami guru Malaysia,

Berikrar dan berjanji,

Mendidik dan memimpin,

Putera puteri negara kita.

Bait lirik keramat ini acap kali meniti di bibir para tenaga pengajar yang bergelar ‘guru’ atau ‘cikgu’ pada tanggal 16 Mei saban tahun. Walau apa jua halangan dan rintangan, mereka mengungkapkan bait lirik lagu ini dengan hati yang penuh keikhlasan dan perasaan kasih sayang kepada anak didiknya.

Tema “Guru Pembina Negara Bangsa” sekali lagi diangkat sebagai tema sambutan Hari Guru pada tahun ini.

Istilah guru berasal daripada Bahasa Sanskrit ataupun lebih dikenali sebagai pengajar, pendidik dan pengasuh merupakan tenaga pengajar dalam institusi pendidikan seperti sekolah atau pusat bimbingan. Di peringkat universiti, guru lebih dikenali dengan gelaran pensyarah.

Menuju Transformasi Nasional 50 (TN50), institusi pendidikan memainkan peranan penting dalam merealisasikannya. Pendidikan merupakan tunjang utama dalam memanifestasi generasi yang cemerlang, gemilang dan terbilang pada masa akan datang. Guru pula merupakan salah satu tulang belakang dalam merealisasikan wawasan dan aspirasi negara.

Fasiliti pendidikan haruslah seiring dengan kemajuan yang sedia ada dalam menuju TN50. Pembekalan jejalur WiFi haruslah konsisten tidak kira di mana jua para guru berada. Sistem ‘online’ yang memudahkan urusan para guru memerlukan jejalur WiFi yang kuat kerana persaingan yang begitu hebat untuk mengakses laman sesawang yang berkaitan.

Para guru juga berharap agar kualiti sistem perkeranian mampu ditingkatkan dari semasa ke semasa agar mampu meringankan beban mereka yang turut terikat dengan aktiviti pembelajaran dan pengajaran.

Selain itu, penggunaan alatan elektronik juga dilihat mampu memudahkan proses pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas. Alatan elektronik seperti komputer harus dilengkapi perisian yang sesuai dengan kandungan dan keperluan yang terkandung di dalam buku teks dan amali.

Makmal-makmal di sekolah juga harus dilengkapi dengan peralatan-peralatan yang terkini agar proses penyelidikan mampu menghasilkan sebuah jurus yang baru dan menjadi kebanggan negara. Anak-anak murid juga mampu belajar dalam keadaan yang kondusif dan seterusnya memberi keputusan yang cemerlang dalam aktiviti kokurikulum dan akademik.

Tambahan lagi, insentif kepada anak-anak yang tidak berkemampuan harus dinaikkan memandangkan ekonomi yang mencengkam kehidupan mereka. Pemberian biasiswa dan bantuan kewangan dilihat mampu membantu meringankan beban mereka seterusnya mendorong mereka untuk terus berusaha bagi menggapai cita-cita dan menjadi insan yang berjaya.

Guru-guru ialah pengorak langkah dalam merealisasikan TN50. Tema “Guru Pembina Negara Bangsa” amat bertepatan dengan konsep TN50 kerana menggambarkan guru ialah metodologi utama dalam proses pembinaan negara bangsa yang berjaya.

Guru merupakan insan yang paling mudah didekati dan juga merupakan modal insan di negara ini, justeru mereka mampu memimpin dan membimbing anak-anak bangsa menjadi sesebuah generasi yang berjaya sesuai dengan acuan yang dibentuk dalam sistem pendidikan kita.

Subjek Kerohanian dan Moral harus lebih diperkasakan agar murid-murid mampu berdaya saing dengan sihat dan tidak tenggelam dengan budaya hedonisme. Mereka juga mampu menepis segala anasir luar yang negatif seterusnya membimbing generasi akan datang dengan budaya ketimuran agar identiti negara bangsa sentiasa terpelihara dan tidak tercela.

Pelbagai onak duri telah dilalui oleh para guru dalam memastikan nasib anak bangsa terus terbela agar menjadi sebuah generasi yang mampu saling berdaya saing pada era globalisasi kini. Guru merupakan medium yang begitu efektif dalam menyemai semangat dan nilai patriotisme dalam diri murid kerana segalanya bermula dari sekolah di mana proses pembelajaran dan pengajaran berlaku.

Kerajaan juga telah mempraktikkan variasi transformasi pendidikan bagi memastikan pelajar mampu menonjol dan duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan pelajar global. Hal ini memaparkan betapa komitednya kerajaan bagi memastikan pendidikan di negara ini sentiasa bergerak seirama dengan perkembangan zaman moden.

Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi membela nasib guru-guru di Malaysia agar mereka mampu mengajar dan mendidik anak bangsa dengan selesa seperti pemberian tablet secara percuma kepada guru-guru di pedalaman. Dengan mampu memberi peluang untuk mereka mengakses sebarang keperluan mengajar dengan lebih mudah dan seiring dengan kemajuan yang ada di kawasan bandar.

Sesungguhnya, jasa dan pengorbanan guru tiada nilai gantinya melainkan mereka melihat anak didik mereka berjaya dalam kehidupan seterusnya mampu membela nasib bangsa, agama dan negara. Terima Kasih Cikgu! – DIMENSI