Saranira inspirasi pencuci mulut dari Thailand

Sara Yazmin menunjukkan produk aiskrim kelapa keluaran Saranira. Gambar- Dimensi.

SHAH ALAM- Menikmati pencuci mulut aneka perisa yang dihidangkan di dalam tempurung kelapa ternyata menggamit momen penulis saat berlibur di tepi pantai Songkhla, Thailand beberapa tahun lalu.

Menjadikan aiskrim sebagai bahan asas hidangan, aneka taburan hiasan atas seperti kuaci, hirisan isi kelapa serta nira menambahkan nilai seni makanan yang dipengaruhi elemen hipster ini.

Mungkin agak melampau jika melabelkan makanan ini sebagai  inovasi anak tempatan, namun kemunculan produk dengan jenama Saranira ini ternyata memberikan lebih banyak pilihan kepada pencipta makanan berasaskan aiskrim.

Menceritakan lanjut mengenai perkara tersebut, pemilik Saranira Enterprise, Sara Yazmin berkata idea asal memperkenalkan makanan tersebut tercetus ketika dia dan keluarga berkunjung ke negara jiran, Thailand.

“Idea asal untuk menjual aiskrim kelapa mula timbul semasa melawat Thailand untuk bercuti, saya tertarik dengan perniagaan aiskrim kelapa yang sangat meriah di sana.

“Saya mengambil keputusan untuk memasarkan aiskrim kelapa di Malaysia dan membuat sedikit perubahan untuk menepati citarasa rakyat Malaysia serta memelihara kualiti dan standard produk kami,” ulas  Pemilik Saranira Enterprise, Sara Yazmin Zulqahar, 24 mengenai idea produk keluaran Saranira.

Aiskrim kelapa yang dijual merupakan 100 peratus produk ‘homemade’ dan resipi aiskrim merupakan hasil sumbangan idea Sara dan ibubapa.

“Produk kami tidak menggunakan sebarang bahan pengawet atau gula dalam resipi aiskrim dan bahan-bahan yang digunakan untuk penghasilan aiskrim merupakan produk tempatan,” jelasnya lagi.

Selain aiskrim kelapa, syarikat yang ditubuhkan sejak tahun 2015 itu turut memasarkan produk-produk berasaskan kelapa seperti air kelapa dan jeli kelapa.

“Buat masa ini, kami memfokuskan kepada peyetempatan produk­­ sebagai asas sebelum menceburi pasaran tempatan dengan skala lebih besar, seterusnya menembusi pasaran antarabangsa.

“Bagi mencapai hasrat tersebut, kami menjalankan aktiviti ‘Saranira take-over’ di mana saya memberikan peluang kepada usahawan-usahawan atas talian untuk menjual produk mereka di outlet saya dan saya juga turut serta dalam aktiviti ini dengan usahasama kafe-kafe hipster di sekitar Lembah Klang untuk menarik pelanggan,” katanya yang juga merupakan pelajar Ijazah Sarjana Komunikasi Massa di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Tidak memiliki sebarang pendidikan formal dalam bidang perniagaan, Sara mengakui perjalanan dalam memulakan perniagaan ini banyak mengajar beliau.

“Kami di Saranira percaya peluang perlu direbut, namun setiap keputusan perlu dipertimbangkan untuk memastikan kelangsungan perniagaan,” ujar beliau.

Saranira mempunyai dua outlet sekitar Lembah Klang yang dibantu oleh 15 orang staf dan syarikat ini diselia sepenuhnya oleh Sara dan keluarga. – DIMENSI

Artikel Berkaitan