Guru Aktif penyampai dasar pendidikan negara

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid menikmati hidangan nasi ambeng selepas merasmikan Majlis Penutupan Program Kenduri Rakyat, Guru Aktif 1Selangor (GA1S) Guru Pembina Negara Bangsa di SK Parit Serong, Tanjong Karang, Selangor, tahun lalu. Gambar – UTUSAN MINGGUAN

SHAH ALAM – Dalam usaha untuk memastikan dasar-dasar dan pelan tindakan Kementerian Pen­didikan sampai ke peringkat akar umbi, guru kini turut diberi pe­ranan untuk menjadi penyebar maklumat dan memberi penjelasan berhubung perkara itu.

Timbalan Pengarah Pendidikan Selangor, Shashim Shah Harun berkata, melalui Guru Aktif atau lebih dikenali sebagai Guru Aktif 1 Selangor (GA1S) di negeri ini, pe­ranan guru dikembangkan supaya turut sama membantu menyampaikan dasar-dasar Kementerian Pendidikan kepada masyarakat.

Menurutnya, GA1S ialah satu badan sukarela dalam kalangan guru yang tidak diberikan sebarang alaun dan penyertaannya pula atas kerelaan guru itu sendiri.

“GA1S penting untuk memberi makluman dan pemahaman kepada guru-guru di seluruh Selangor tentang dasar-dasar baharu yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan selain memberi penjelasan tentang isu-isu semasa.

“Di Selangor terdapat kira-kira 62,122 guru dan adalah mustahil untuk pihak kementerian memanggil kesemua mereka untuk memberi penjelasan tentang sesuatu dasar atau pelan baharu.

“Sebab itu, diwujudkan kumpulan sukarelawan ini yang di­pilih dalam kalangan guru cemerlang dan kini GA1S telah memiliki sebanyak 1,050 ahli,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Seksyen 14 di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Shashim memberitahu, GA1S turut menyampaikan dasar Kementerian Pendidikan kepada masyarakat melalui aktivi­ti pendidikan di luar waktu kerja, aktiviti pembangunan insan dan aktiviti ekonomi atau sosial.

Katanya, GA1S juga memainkan peranan menyatukan golo­ngan guru dengan guru, guru de­ngan masyarakat dan guru dengan pemimpin maysarakat.

“Apa yang penting, GA1S juga menjadi penyampai maklumat tentang masalah yang dihadapi atau isu-isu pendidikan di peringkat akar umbi ke pengetahun kementerian atau pejabat pendidikan.

“Mereka juga membantu meningkatkan tahap profesionalisme kumpulan pendidik melalui pe­nganjuran seminar, dialog, kursus dan forum dengan pihak kementerian atau agensi kerajaan lain.

“Selain itu, GA1S turut menjalankan aktiviti kebajikan sosial untuk guru-guru seperti me­ngadakan gotong-royong, sukan, ziarah kebajikan guru dan aktiviti sosial lain,” ujarnya.

Tambah Shashim, dalam usaha mentransformasi pendidikan negara, guru adalah tulang belakangnya dan sebab itu permuafakatan serta pemikiran mereka perlu diberi keutamaan kerana merekalah yang mencorak anak bangsa.

“Peranan guru amat besar dalam mendidik anak bangsa dan kedudukan mereka yang amat dihormati perlu dijadikan sebagai satu medan untuk menyumbang kepada masyarakat.

“Para guru perlu lebih proaktif dalam melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan dan komuniti kerana guru amnya amat dihormati dalam masyarakat,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Artikel Berkaitan