PEWANI digesa tingkatkan bilangan keahlian

Dr. Hassan Said (tengah), di sisi kanan, Yang Dipertua PEWANI, Datin Che Norhayati Salleh bersama ahli-ahli PEWANI yang lain. - Facebook Bahagian Canseleri Dan Komunikasi Korporat

SHAH ALAM: Persatuan Wanita Universiti Teknologi MARA (PEWANI UiTM) digesa untuk mempergiatkan lagi usaha menambah bilangan keahlian bagi meningkatkan kelancaran pelaksanaan aktivitinya.

Naib Canselor UiTM, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Hassan Said berkata setiap ahli PEWANI harus memainkan peranan aktif dalam mempromosi dan menarik ahli untuk menyertai pertubuhan itu.

“Kita mempunyai kira-kira 15,000 orang wanita termasuk pensyarah dan isteri kepada staf di semua cawangan UiTM.

“Dengan memperoleh 10 peratus daripada jumlah tersebut, kita mampu meningkatkan lagi bilangan ahli PEWANI.

“Saya menyeru kepada ahli-ahli PEWANI untuk memberi sokongan terhadap aktiviti-aktiviti yang dirancang oleh AJK PEWANI,” katanya baru-baru ini.

Ditubuhkan pada 1992, PEWANI berperanan merapatkan hubungan muhibah dan menyatukan kakitangan wanita dan isteri-isteri di UiTM.

Dato’ Dr. Hassan Said menyampaikan kata-kata aluan kepada semua ahli PEWANI. – Facebook Bahagian Canseleri Dan Komunikasi Korporat

Tambah Dr. Hassan lagi, ahli PEWANI juga digalakkan menyumbang kepakaran dan idea yang bernas dalam mempelbagaikan aktiviti.

“Tidak perlu menuggu Mesyuarat Agung untuk berkongsi pandangan memajukan persatuan tetapi perkara ini boleh dilakukan pada bila-bila masa,” katanya lagi.

Harapan sama turut dizahirkan Yang Dipertua PEWANI, Datin Che Norhayati Salleh yang mahu melihat lebih ramai lagi warga serta kakitangan wanita UiTM menyertai persatuan tersebut.

Jelasnya, kehadiran ramai ahli baharu secara tidak langsung akan dapat memastikan kelancaran aktiviti yang dirancang persatuan seterusnya mencapai objektif yang ditetapkan.

Che Norhayati turut memuji keupayaan penganjur dalam melaksanakan dua acara penting yang dianjurkan ahli PEWANI di peringkat cawangan.

“Dalam bidang sukan, warga UiTM Shah Alam telah berjaya menganjurkan Sukan Mini di Shah Alam sebagai persiapan untuk mengambil bahagian dalam Sukan PEWANI Se-Malaysia ke-5 di UiTM cawangan Kedah.

“Manakala, PEWANI cawangan Kedah telah berjaya menganjurkan karnival Sukan PEWANI Se-Malaysia dengan jayanya pada 12 hingga 14 November 2016,” jelasnya. – DIMENSI

Artikel Berkaitan