Tong gas meletup, tukang masak melecur

Sumber: Berita Harian

SHAH ALAM– Seorang tukang masak lelaki warga Yaman nyaris maut apabila tong gas memasak di restoran makanan Arab di Seksyen 13 di sini, meletup kira-kira jam 9.30 pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, Azmel Kamarudin, berkata mangsa yang dikenali sebagai Mohamed, 27, melecur pada kedua-dua tangan selain kaki, muka dan beberapa anggota badan akibat letupan itu.

Katanya, letupan itu turut menyebabkan kerosakan struktur hadapan bangunan restoran berkenaan.

“Kami bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 9.34 pagi dan mendapati seorang mangsa yang melecur sudah dihantar ke hospital oleh pengurus restoran.

“Seramai 17 pegawai dan anggota bersama tiga jentera dikerah dalam operasi itu. Pemeriksaan mendapati berlaku kebocoran gas yang menyebabkan letupan berkenaan.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, kami kemudian menjalankan pemeriksaan lanjut di seluruh premis itu. Punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Sementara itu, pemilik bersama premis itu, Khairil Nizam Abdul Razak, 43, ketika dihubungi, berkata ketika kejadian mangsa sedang membuat persiapan memasak di dapur untuk memulakan operasi perniagaan pada jam 12 tengah hari.

Beliau berkata, letupan itu menyebabkan pelbagai barangan dapur rosak dan satu pintu cermin restoran itu pecah.

“Pada awalnya, saya yang berada di rumah melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) restoran masih berfungsi dengan baik, namun mencurigai sesuatu apabila ia dilihat gelap gelita.

“Tidak lama kemudian, saya mendapat panggilan telefon daripada pekerja memaklumkan kejadian itu dan terus bergegas ke lokasi kejadian. “Mohamed (mangsa) kemudian dikejarkan ke Hospital Shah Alam untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.- BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan