Nasi Vanggey penuhi permintaan orang ramai, buka cawangan di PKNS

Restoran Nasi Vanggey dikunjungi orang ramai di Kompleks PKNS semalam.- DIMENSI

SHAH ALAM- Rangkaian perniagaan restoran nasi kandar popular, Restoran Nasi Vanggey melebarkan lagi sayap perniagaanya dengan membuka cawangan baharu di Kompleks PKNS, di sini.

Pemegang francais induk bahagian Selangor, Kuala Lumpur dan Pahang Restoran Nasi Vanggey, Mohd Fisal Ibrahim, memaklumkan pembukaan cawangan berkenaan merupakan usaha untuk mengembangkan sayap perniagaan nasi Vanggey yang semakin mendapat perhatian orang ramai.

Menurutnya lagi, pembukaan cawangan ini merupakan inisiatif supaya pelanggan di kawasan Selangor tidak perlu lagi beratur panjang untuk makan di Restoran Nasi Vanggey cawangan seksyen 19.

Fisal (dua dari kanan) bersama rakan-rakannya yang turut hadir sewaktu pembukaan Nasi Vanggey.

“Kami membuka cawangan kedua di Shah Alam untuk memenuhi permintaan tinggi orang ramai terhadap nasi Vanggey ini.

“Malah, cawangan ini membawa sedikit kelainan kerana berkonsepkan hipster moden, bersesuaian dengan keadaan semasa selain menawarkan pelbagai jenis makanan termasuk menu Barat,” jelas Fisal ketika ditemui di jamuan sempena pembukaan restoran, di sini.

Seorang pengunjung, Mohd Nadjmi Roslan, berkata ini merupakan inisiatif yang bagus terutama kepada anak Ipoh yang menetap di Shah Alam.

“Saya tidak perlu balik Ipoh hanya untuk menjamah nasi Vanggey.

“Tambahan pula, nasi Vanggey di sini mempunyai rasa dan kualiti yang sama seperti di Ipoh,” tambahnya.

Seorang pengunjung lagi, Abdul Rahim Joret, meluahkan rasa kagum dengan keenakan nasi Vanggey dan ini merupakan kali pertama dia mencuba nasi tersebut.

“Saya sangat berpuas hati terutamanya dengan ayam merah nasi Vanggey ini. Sedap dan lain daripada yang lain, berbeza dengan restoran nasi kandar yang pernah saya kunjungi” katanya.

Restoran Nasi Vanggey akan dibuka secara rasmi pada 8 Mei 2017. –DIMENSI

Artikel Berkaitan