147 keluarga terancam selepas tebing runtuh di Shah Alam

Kejadian tanah runtuh menyebabkan keretakan dan runtuhan pada tembok pagar rumah susulan pergerakan tanah.- Sumber: Free Malaysia Today

SHAH ALAM– Sebanyak 147 buah keluarga di Jalan Raja Abdullah, Seksyen 9 di sini berasa keselamatan mereka terancam susulan kejadian tebing runtuh kali ke-2 berhampiran kawasan perumahan berkenaan.

Seorang penduduk, Mior Abdul Aziz Hashim, 60, berkata kejadian awal pagi semalam itu dilihat lebih teruk daripada kejadian pertama Disember lepas.

Beliau berkata kejadian terbaru itu menyebabkan kelihatan keretakan dan runtuhan pada tembok pagar rumah susulan pergerakan tanah.

Bercakap kepada pemberita di sini, beliau percaya kejadian tanah runtuh itu disebabkan kerja penambahbaikan longkang di kawasan itu.

Seorang lagi penghuni, Salmah Hussin, 62, meminta pihak berkuasa tempatan memberi perhatian serius terhadap masalah tebing runtuh di kawasan berkenaan kerana dikhuatiri akan mengancam keselamatan mereka.

“Walaupun kejadian tebing runtuh ini tidak memberi kesan kepada rumah saya tetapi saya tidak mahu masalah ini berlarutan, harap pihak berkaitan ambil tindakan sewajarnya…jangan sampai babitkan kemalangan jiwa baru tindakan mahu diambil,” tambah Salmah.

Sementara itu, Ketua Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Shahrin Ahmad berkata, pihaknya sudah memaklumkan kepada pemilik rumah terjejas supaya melakukan kerja pembaikan sendiri ekoran mendapan tanah dan runtuhan tembok pagar berlaku dalam kawasan kediaman pemilik.

“Jabatan Kejuruteraan MBSA mengadakan pemeriksaan sebelum ini dan hasil pemerhatian mendapati tembok pagar rumah mangsa dibina tanpa mempunyai asas yang kukuh dan hanya diletakkan di atas dinding tembok parit, yang asalnya bukan dibina untuk menampung bebanan tambahan daripada tembok pagar rumah berkenaan.

“Bagaimanapun, pihak MBSA akan membuat pemantauan secara berterusan di kawasan kejadian,” katanya dalam satu kenyataan. – FREE MALAYSIA TODAY

Artikel Berkaitan