Kualiti lampu limpah Stadium Shah Alam memuaskan

Sumber: Selangorkini

SHAH ALAM– Kerjasama Liabiliti Bola Sepak Malaysia Berhad (FMLLP) berpuas hati dengan kualiti pencahayaan lampu limpah Stadium Shah Alam yang menjadi lokasi tuan rumah pasukan PKNS FC selepas membuat penilaian, semalam.

Perkara itu dikongsikan FMLLP menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman sosial selepas melakukakan pemeriksaan bersama PKNS FC dan Stadium Shah Alam.

“Secara purata, Stadium Shah Alam mempunyai kecerahan 2800 lux dan melepasi tahap minimum 1200 lux serta layak digunakan pada sebelah malam bagi pertandingan Liga Malaysia.

“Syabas pengurusan Stadium Shah Alam amnya dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) khususnya kerana berusaha memenuhi syarat ditetapkan FMLLP,” katanya.

Sementara itu, Pengurus PKNS FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid ketika dihubungi SelangorKini mengesahkan perkara terbabit dan memaklumkan pihaknya masih menunggu surat rasmi daripada FMLLP bagi membolehkan mereka beraksi, pada waktu malam.

“Pemeriksaan semalam semuanya berjalan dengan baik. Secara lisan, PKNS FC dijangka boleh menggunakan Stadium Shah Alam untuk aksi Liga Super menentang Kedah, pada 9 Mei dan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 24 Mei ini,” katanya.- SELANGORKINI

Artikel Berkaitan