Pelajar Tingkatan 5 dipercayai dalang Geng 24 ditahan

Sumber: Berita Harian

SHAH ALAM– Seorang pelajar Tingkatan Lima dipercayai dalang kegiatan kongsi gelap Geng 24 di daerah Klang, ditahan hujung minggu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata ia menjadikan jumlah keseluruhan yang ditahan bersabit kumpulan kongsi gelap itu kepada 53 orang setakat ini.

“Daripada keseluruhan yang ditangkap, seramai 43 daripadanya adalah pelajar sekolah, dua pelajar kolej dan lapan orang yang tidak bersekolah atau tidak bekerja.

“Pihak polis percaya dalang ini adalah individu bertanggungjawab yang merancang untuk mengadakan perayaan Geng 24 dalam kalangan pelajar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Ketua Siasatan Jenayah Komersil Kontinjen Selangor di sini, hari ini.

Fadzil berkata, ketika ini polis menahan reman tiga individu berusia antara 16 hingga 17 tahun bagi membantu siasatan.

“Dalam operasi yang dijalankan, polis turut merampas beberapa barangan yang mempunyai elemen Geng 24 seperti baju T berlambang swastika dan poster. Bagaimanapun setakat ini tiada senjata ditemui,” katanya.

Sebelum ini, seramai 18 individu termasuk 13 pelajar sekolah menengah ditahan susulan tersebar rakaman video di media sosial dipercayai ada kaitan dengan elemen kumpulan kongsi gelap Geng 24.

Individu berusia antara 16 tahun hingga 25 tahun itu ditahan dalam operasi dijalankan Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC), Bukit Aman dibantu Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.- BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan