Penulis percaya bukan sahaja pelajar-pelajar berkenaan, tetapi mungkin ribuan lagi dalam kalang­an mereka tidak tahu betapa bersejarahnya tarikh itu yang sepatutnya diraikan oleh UiTM setiap tahun.

Ini memandangkan pada tarikh itu, negara menyaksikan kebangkitan segerombolan pelajar ITM yang diketuai oleh Pre­siden ­Kesatuan Siswa ITM (KSITM) ketika itu, Datuk Ibrahim Ali me­nuntut supaya kerajaan menaiktaraf ITM kepada universiti.

Walaupun perjuangan itu mungkin tidak diketahui oleh majoriti pelajar UiTM, tetapi ia akan terpahat kukuh dalam sejarah pendidikan negara. Ibrahim dan rakan-rakannya menggerakkan perjuangan tersebut selepas mendapat restu Pengarah ITM ketika itu, Tan Sri Arshad Ayub yang kini menjadi Pro Canselor UiTM.

Dalam bukunya berjudul ‘Perjuangan Tanpa Noktah’, Ibrahim menceritakan bagaimana Arshad biarpun tidak memberi mandat secara rasmi untuk pelajar-pelajar membuat tuntutan tersebut dipetik berkata: “Eloklah kamu semua meneruskan perjuangan ini kerana ia demi kepentingan kamu, bukan kepentingan saya. Kalau kamu belajar dan mendapat diploma lanjutan, tetapi tidak diiktiraf sewajarnya, masa depan kamu juga akan malap.”

Kata-kata inilah memberi semangat dan perangsang kepada Ibrahim dan rakan-rakan untuk melaksanakan tuntutan yang semata-mata bertujuan meningkatkan pendidikan anak bangsa. Tuntutan itu berakhir dengan demonstrasi oleh ribuan pelajar ITM pada 22 April 1974 yang bergerak pada pukul 8 malam dari kampus di Shah Alam menuju bangunan Parlimen.

Bagaimanapun suasana menjadi huru-hara apabila perjalanan mereka disekat oleh Unit Simpanan Persekutuan (FRU). Ramai pelajar ditangkap manakala Ibrahim sendiri terpaksa meredah paya hingga ke stesen kereta api Batu Tiga, Shah Alam bagi menyelamatkan diri.

Namun begitu semangat mereka tidak luntur, Ibrahim dan rakan-rakan meneruskan tuntutan biarpun terpaksa menghadapi ‘tentangan’ daripada pihak berkuasa. Selama 10 hari, pelajar-pelajar terlibat menguasai kampus di Shah Alam dan Jalan Othman, Petaling Jaya sehinggalah kerajaan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein memanggil mereka untuk berunding.

“Kami bersedia bertemu Tun Abdul Razak dan Ghazali Shafie untuk berunding dengan syarat, ia diadakan di pejabat Perdana Menteri di Kompleks Pejabat Kerajaan Bukit Perdana. Kami juga meletakkan syarat mahu ke sana dengan menaiki kereta menteri sambil diiringi polis trafik. Agak melucukan syarat kami itu dipersetujui oleh pihak kerajaan,” kata Ibrahim dalam buku tersebut.

Dalam pertemuan itu, Tun Abdul Razak tidak dapat meme­nuhi permintaan mereka untuk menaik­taraf ITM kepada universiti tetapi mengeluarkan surat perakuan yang tertulis, “bahawasanya kerajaan akan memberi pengiktirafan beberapa diploma ITM setaraf dengan ijazah.’’

Perjuangan Ibrahim tidak ­berakhir di situ. Bermula dari zaman pelajar hinggalah menjadi Ahli Parlimen Pasir Mas dan seterusnya Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, beliau tetap meneruskan usaha bagi memastikan ITM dinaik taraf menjadi universiti. Impian beliau dan rakan-rakan tercapai 25 tahun kemudian iaitu pada 26 Ogos 1999, apabila Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengisytiharkan ITM menjadi universiti dalam Perhimpunan Siswazah ITM di Stadium Malawati, Shah Alam.

Kini walaupun sudah 43 tahun peristiwa bersejarah tersebut berlaku, ia tetap terpahat kukuh di sanubari Ibrahim. ­Sehubungan itu pada 22 April lalu, beliau me­nganjurkan Majlis Malam Nostalgia 22 April 1974 – Perjuangan Menuntut Taraf ITM Ke UiTM di Kuala Lumpur.

Arshad yang menjadi tetamu kehormat majlis berkenaan dalam ucapannya berkali-kali menyebut nama Ibrahim sebagai orang yang bertanggungjawab merealisasikan impian tersebut. Beliau juga seolah-olah amat berharap agar UiTM dapat memberikan pengiktirafan atas sumbangan Ibrahim.

Bagi Ibrahim pula, penganjuran majlis itu adalah demi rasa cintanya kepada UiTM, apatah lagi langkah kerajaan menaik taraf institusi pengajian tinggi berkenaan adalah hasil perjuang­an beliau menggerakkan 6,000 pelajar ITM membuat tuntutan.

Biarpun kini pelantikan beliau sebagai Ahli Lembaga Pengarah UiTM tidak dilanjutkan dan tidak mendapat apa-apa pengiktirafan termasuk doktor kehormat daripada institusi tersebut atas jasa­nya, namun Ibrahim tidak kecewa.

Ini memandangkan sejak awal lagi perjuangan beliau bukanlah kerana nama tetapi demi ­meningkatkan taraf pendidikan anak bangsa. Atas sebab itulah beliau menyifatkan kejayaan ITM menjadi UiTM adalah peristiwa paling bersejarah dan bermakna dalam hidup beliau.

Ibrahim mencatatkan dalam bukunya, “Kesimpulannya kalau dibandingkan dengan apa juga pencapaian saya, perjuangan menaik taraf ITM menjadi universiti adalah satu kejayaan yang tiada tolok bandingnya. Ia bukan kerana saya, tetapi demi masa depan pendidikan anak-anak Melayu dan bumiputera.”

Mungkin sudah tiba masanya, UiTM menghargai insan-insan seperti Ibrahim. Jasa mereka terlalu besar kepada penuntut-penuntut universiti tersebut. Kalau tanpa mereka belum tentu UiTM berada dalam kedudukan sekarang. Janganlah terlalu melihat kepada kehadiran generasi muda UiTM sehingga terlupa perjua­ngan dan pengorbanan insan-­insan seperti Ibrahim dan kawan-kawannya pada 22 April 1974. – Utusan Melayu