Final Piala FA tetap di Shah Alam

Stadium Shah Alam mampu menampung kapasiti 80,000 penyokong. Sumber- Harian Metro

KUALA LUMPUR- Stadium Shah Alam tetap menjadi venue final Piala FA pada 20 Mei depan walaupun wujud cadangan untuk membawa kemeriahan kemuncak saingan kalah mati itu ke luar Lembah Klang.

Ketua Pegawai Eksekutif Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) Kevin Ramalingam berkata, permintaan tinggi penyokong untuk menyaksikan perlawanan akhir di stadium menjadi faktor utama mereka mengekalkan Stadium Shah Alam sebagai venuenya.

“Tarikh final Piala FA adalah pada 20 Mei dan venue di Stadium Shah Alam. Terdapat cadangan untuk membawa final ke luar Kuala Lumpur, tapi kami melihat kepada kemudahan sedia ada serta permintaan final yang amat tinggi.

“Walaupun dengan kapasiti stadium 80,000 penyokong, masih ada pihak yang mendakwa tak dapat tiket. Jadi, untuk bawa perlawanan akhir ini ke stadium kecil di luar Lembah Klang bukan langkah bijak,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Pertama Pengelolaan Perlawanan Akhir Piala FA 2017 semalam.

Stadium Shah Alam terus menjadi venue pilihan susulan penutupan Stadium Nasional Bukit Jalil yang masih dalam proses akhir naik taraf bagi penganjuran Sukan SEA, pada Ogos.

Dalam pada itu, Kevin yang turut menjadi pengerusi Jawatankuasa Pengelola memberi jaminan keselesaan penyokong akan menjadi keutamaan mereka.

“Kami cuba beri perhatian terhadap perkara yang menjadi rungutan penyokong seperti kemudahan tandas, perubatan dan kawasan keluarga dengan ibu bapa boleh menyaksikan perlawanan bersama anak mereka dalam keadaan lebih selesa dan terkawal,” jelasnya. – HARIAN METRO

Artikel Berkaitan