UNISEL-Universiti Reitaku bakal jalin hubungan

Sumber: Selangorkini

SHAH ALAM– Universiti Selangor (UNISEL) dan Universiti Reitaku, Tokyo bakal menjalin hubungan dua hala menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang akan dimeterai tidak lama lagi.

Timbalan Naib Canselor (TNC) Hal Ehwal Pelajar (HEP) UNISEL, Profesor Dr Shaharuddin Badaruddin berkata, perkara itu sudah dinyatakan kepada Profesor Fakulti Ekonomi Universiti Reitaku, Dr Lau Sim Yee.

“Kita berhasrat mengadakan MoU antara Fakulti Perniagaan UNISEL dengan Universiti Reitaku kerana mereka mempunyai pengkhususan dalam perniagaan, etika dan sebagainya.

“Ini adalah perkara baik untuk UNISEL mempunyai hubungan dua hala dan kita mahu beberapa pandangan dikemukakan itu bukan satu hala sahaja,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau yang juga Pengarah Institut Darul Ehsan (IDE) berkata demikian selepas menghadiri program wacana disampaikan Sim Yee bertajuk ‘How Malaysia Needs to Move up the Technological Level from Macro Views: An Advantage from Malaysia-Japan Relationship’ di bangunan IDE, di sini, semalam.

Dr Shaharuddin berkata, dasar pandang ke timur pada masa ini hanyalah hubungan sehala apabila negara matahari terbit itu memindahkan teknologi dan pengetahuan kepada Malaysia.

Katanya, sepatutnya Malaysia turut sama menyumbang sesuatu kepada Jepun khususnya dalam bidang ekonomi membabitkan perkara lain seperti hab halal. – SELANGORKINI

Artikel Berkaitan