Tawaran kerja sebaik tamat pengajian

GRADUAN UiTM, Shafiqa Hasifa Shahdan, Mohd Zaim Zulqarnaen Junaidi (kanan) dan Wan Amirul Amsyar Wan Ahmad Jailani (kiri) meraikan kejayaan selepas majlis Istiadat Konvokesyen UiTM ke-86 di Dewan Agung Tuanku Canselor, di Shah Alam, hari ini. - Foto Rosdan Wahid. Sumber: Berita Harian

SHAH ALAM– Graduan Universiti Teknologi MARA (UiTM) sememangnya antara graduan yang ditunggu-tunggu oleh majikan dan kebanyakannya memperoleh pekerjaan sebaik sahaja menamatkan pengajian.

Graduan Sarjana Muda Komunikasi (Kepujian) Pengurusan Komunikasi dan Polisi, Wan Amirul Amsyar Wan Ahmad Jailani, 24, berkata, beliau menerima tawaran sebagai penolong penerbit di Astro Arena sebulan selepas tamat latihan perindustrian.

“Ini adalah pekerjaan tetap saya yang pertama dan pengalaman ketika belajar di UiTM banyak membantu saya dalam menjalankan tugas sebagai penolong penerbit.

“Walaupun ini pengalaman pertama, saya tidak begitu kekok kerana mempunyai asas yang bagus ketika belajar dahulu malah saya juga banyak belajar benda baharu setiap hari,” katanya ketika ditemui selepas Istiadat Konvokesyen UiTM ke-86 di Dewan Agung Tuanku Canselor, di sini, hari ini.

Amsyar yang juga anak sulung kepada Pengarang Berita BH, Wan Jailani Razak, berkata beliau akan terus bekerja untuk menggilap kemahiran sedia ada serta menimba lebih pengalaman sebelum membuat keputusan lain seperti menyambung pengajian dan sebagainya.

Sementara itu, Shafiqa Hasifa Shahdan, 24, yang juga Graduan Sarjana Muda Komunikasi (Kepujian) Pengurusan Komunikasi dan Polisi berkata beliau mula bekerja di Toshiba Tech Malaysia sejak Ogos tahun lalu.

“Walaupun ia bidang yang agak berlainan tetapi kerja saya sebagai koordinator panggilan memerlukan saya untuk berkomunikasi dan sedikit sebanyak ia membantu saya memperbaiki skil komunikasi.

“Saya gembira dengan kerjaya sekarang dan tidak bercadang untuk mencari pekerjaan lain kerana masih banyak yang perlu saya pelajari,” katanya. – BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan