MBSA anjur HBP selesai masalah setempat

Sumber: Selangorkini

SHAH ALAM– Program Hari Bertemu Pelanggan (HBP) anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) baru-baru ini memberi peluang kepada orang ramai dan pihak berkepentingan menyalurkan aduan, komen dan saranan.

Menurut Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, HBP merupakan landasan terbaik buat orang ramai khususnya warga Shah Alam bertemu pengurusan atasan MBSA.

“Program ini dilaksanakan bagi mendekati warga kota Shah Alam secara terus dengan memberi peluang mereka menyalurkan aduan dan permasalahan yang dialami di kawasan pentadbiran MBSA.

“Orang ramai diberi peluang bertemu dan bersemuka dengan pengurusan atasan MBSA bagi membincangkan aduan dan permasalahan untuk tindakan MBSA,” katanya dalam kenyataan.

IMG_3260Program itu juga merupakan komitmen berterusan MBSA mempertingkatkan serta memperbaiki sistem penyampaian komuniti setempat.

“Antara aduan diterima adalah penyelenggaraan jalan dan longkang, landskap, lampu jalan dan sebagainya.

“Selain itu perkhidmatan lain yang disediakan semasa program adalah penyemakan dan pembayaran cukai taksiran, penyemakan dan pembayaran kompaun khususnya kompaun trafik dan menerima semakan aduan permohonan ubahsuai premis,” katanya.

HBP turut disertai jabatan dalaman MBSA antaranya Jabatan Pelesenan, Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Bangunan, Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta, Jabatan Perancangan, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam dan Jabatan Kesihatan Persekitaran.

Pada masa sama, MBSA turut menjemput agensi serta jabatan kerajaan yang lain untuk turut serta. – SELANGORKINI

Artikel Berkaitan