Norsyahila Ahmad, 25, ketika ditemui memberitahu, kejayaan yang diperolehnya itu bukan satu perkara mudah kerana terpaksa mengikuti kursus di peringkat sarjana muda dalam tempoh lima tahun dan memerlukan banyak pengorbanan dari segi masa serta wang ringgit.

Dia berkata, kejayaan cemerlang itu adalah hasil dorongan daripada bapa, Ahmad Mohamad, 63, dan ibunya, Robiah Talib, 59, serta rakan-rakannya di Fakulti Pergigian UiTM.

“Saya pada mulanya memang tidak berminat dalam bidang Sains, namun itu bukan alasan untuk saya ketepikan bidang itu, sebaliknya kita perlu menguasainya seperti mana dengan subjek-subjek yang lain.

“Lama-kelamaan, barulah timbul minat. Saya sentiasa memberikan tumpuan penuh dalam pengajian, selain suami, Afandi Bernado Viveru, 26, yang merupakan seorang doktor perubatan banyak memberikan bantuan dan sokongan,” katanya yang berasal dari Negeri Sembilan.

Norsyahila memberitahu, dia berhasrat untuk berkhidmat di hospital kerajaan selepas ini.

Sementara itu, seorang lagi pelajar cemerlang, Muhammad Faiz Sabri, 25, yang berasal dari Seksyen 7, Shah Alam menyatakan hasratnya untuk menjadi pensyarah dalam bidang Sejarah Seni dan Pengurusan Kebudayaan selepas menerima Anugerah Sarjana Cemerlang UiTM.

“Ketika ini, saya telah pun me­lanjutkan pengajian saya dalam bidang Sejarah Seni dan Kebudayaan Islam di peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) di UiTM. Mungkin tidak ramai yang me­­­­­­n­ge­tahui bidang pengajian ini.

“Bidang ini merupakan satu cabang pengajian di bawah Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM yang banyak diaplikasikan dalam penghasilan kesenian menerusi pelbagai media, seni bina, seni halus dan sebagainya.

“Saya memberi fokus kepada kesenian Islam kerana boleh men­dekatkan diri dengan Allah SWT, selain dimanfaatkan untuk dakwah,” ujarnya.

Seramai 11,431 graduan mene­rima penganugerahan di kampus induk UiTM di sini dalam istiadat konvokesyen yang berlangsung selama enam hari bermula semalam. – UTUSAN