Langkah keselamatan negara diragui

Varughese gesa pihak berkuasa segera mengambil tindakan bagi merungkai misteri kehilangan lima individu. Gambar - Sinar Harian

Shah Alam – Misteri kehilangan lima individu sejak November tahun lalu menimbulkan persoalan mengenai langkah keselamatan di negara ini.

Presiden Majlis Peguam, George Varughese berkata, ia juga telah membawa kepada persepsi awam dan spekulasi kemungkinan berlaku kehilangan secara ‘paksa’.

“Keselamatan negara ini dan rakyat amat penting, bukan sahaja untuk penduduk tetapi juga untuk pengunjung serta pelabur asing.

“Kekurangan maklumat mengenai langkah-langkah diambil pihak berkuasa untuk mencari dan mendapatkan semula lima individu yang hilang ini adalah yang paling membingungkan.

“Ia juga menimbulkan keraguan mengenai langkah-langkah keselamatan di negara ini,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Lima individu yang masih hilang sehingga kini ialah Amri Che Mat, Pastor Joshua Hilmy dan isteri, Ruth, Pastor Raymond Koh dan Peter Chong.

Kelima-lima mereka mempunyai latar belakang yang hampir sama iaitu sebagai aktivis agama dan terlibat dalam kerja kebajikan.

Menurut George, pihak berkuasa perlu meningkatkan usaha mengesan, seterusnya membebaskan lima individu tersebut.

“Mereka perlu membawa pelaku penculikan dan kehilangan (atau kehilangan paksa, mengikut mana-mana yang berkenaan) ke muka pengadilan.

“Hanya tindakan konkrit oleh pihak berkuasa akan mengurangkan kebimbangan orang ramai dan menanam keyakinan terhadap keselamatan negara dan rakyatnya. Majlis Peguam juga menggesa polis memberikan perkembangan terkini mengenai status siasatan mereka,” katanya. – SINAR HARIAN

Artikel Berkaitan