Nestle pelawa mahasiswa ikuti latihan industri

ALOIS (barisan depan, lima dari kanan) bergambar bersama pelajar dan kakitangan UiTM pada program 'A Day with Nestle', 5 April lalu. Gambar: DIMENSI

Shah Alam: Syarikat pengeluar produk makanan, Nestle (Malaysia) Bhd. mempelawa mahasiswa daripada pelbagai bidang pengajian mengikuti latihan industri bertaraf antarabangsa di syarikat tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Nestle, Alois Hofbauer berkata program latihan industri tersebut merupakan platform kepada golongan berkenaan menyertai syarikat tersebut selain mempraktikkan ilmu pengetahuan yang diperolehi di dalam kelas ke alam pekerjaan sebenar.

“Pelajar boleh memohon untuk menyertai latihan industri di Nestle dan kami akan memilih yang terbaik di kalangan pelajar.

“Nestle memerlukan individu yang kreatif dan inovatif dalam penghasilan produk kami, itu keutamaan kami,” ujarnya dalam sesi Talk with CEO semasa program ‘A Day with Nestle’, di Universiti Teknologi MARA (UiTM), kampus Shah Alam di sini.

Program sehari itu dianjurkan Pusat Kerjaya dan Kaunseling UiTM dengan kerjasama Fakulti-fakulti kejuruteraan universiti berkenaan.

Selain slot bual bicara, turut diadakan sesi temuduga calon program pengurusan latihan dan industri bersama syarikat tersebut melibatkan pelajar-pelajar tahun akhir.

Tambah Alois lagi, sebagai sebuah syarikat multinasional, Nestle tidak hanya mempunyai komitmen terhadap pemegang sahamnya tetapi turut bertanggungjawab  mengukuhkan hubungan dengan anggota masyarakat.

“Hanya dengan cara itu, syarikat boleh mengembangkan perniagaan,” tegasnya sambil memetik kenyataan Pengerusi Nestle Group, Peter Brabeck-Letmathe.

Untuk rekod, Nestle telah beroperasi di Malaysia sejak tahun 1912 dan menjadi antara produk pilihan utama isi rumah di negara ini. – DIMENSI

Artikel Berkaitan