Merokok di kawasan taman awam didenda, penjara

Penguatkuasaan larangan merokok di taman awam bakal dilaksanakan pada 1 Jun 2017. Gambar hiasan.

Amaran kepada perokok yang gemar merokok di kawasan taman awam. Mereka kini boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau dua tahun penjara sekiranya didapati bersalah berkelakuan demikian.

Ketua Unit Kawalan Penyakit Berjangkit, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Dr. Ismail Habsah berkata, pelaksanaan peraturan terbaharu tersebut akan berkuatkuasa mulai 1 Jun ini.

Katanya, selain kawasan taman awam, semua hentian pengangkutan awam tidak berhawa dingin, tempat makan berhawa dingin dan stadium terbuka turut tertakluk dengan larangan berkenaan.

“Penambahan kawasan larangan merokok ini dibuat setelah peraturan 21, Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 dimansuhkan dan diganti dengan Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) pindaan 2017.

“Sehubungan itu, pihak JKNS mengambil inisiatif membuat hebahan dan memberi kesedaran kepada orang ramai berhubung perkara ini,” jelasnya kepada Dimensi ketika ditemui di Program Pelancaran Taman Awam Sebagai Kawasan Larangan Merokok di sebuah taman awam di sini, Sabtu lalu.

Pelbagai aktiviti kesihatan diadakan sepanjang program berlangsung seperti klinik berhenti merokok, pemeriksaan kesihatan dan lain-lain.

Orang ramai turut berpeluang membuat pemeriksaan tahap kandungan karbon monoksida yang menjadi penyebab utama penyakit kardiovaskular (penyakit jantung) kepada perokok dewasa. – DIMENSI

Artikel Berkaitan