Usaha murni SMK Seksyen 19

Antara guru, pelajar dan ibu bapa yang hadir menjayakan program #QuranHour SMK Seksyen 19 semalam. Gambar kecil: Roslawati . Sumber : Sinar Harian

SHAH ALAM – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 19 mengambil pendekatan mewujudkan #QuranHour di sekolah tersebut semalam dalam usaha mendekatkan diri pelajar kepada al-Quran.

Pengetua, Putri Roslawati Hashim berkata, pengajian al-Quran sebenarnya telah lama dilaksanakan melalui program-program rasmi sekolah.

“Kita akan ambil masa sejam dalam mana-mana program rasmi dengan membaca kitab suci itu secara berjemaah.

“Alhamdulillah… pendekatan yang diguna berjaya dan sambutan yang diterima cukup luar biasa di kalangan pelajar dan juga guru-guru,” katanya ketika ditemui pada program itu di Surau Darul Hikmah, di sini semalam.

Pada masa sama, beliau mengakui dalam mendekatkan diri pelajar dan guru-guru dengan al-Quran, pihak sekolah juga mengambil pendekatan dengan mengimarahkan Surau Darul Hikmah bagi menarik minat mereka ke surau.

“Kita menceriakan surau agar ia mampu memberi keselesaan kepada mereka ketika membaca Quran, bila mereka rasa selesa saya yakin mereka akan sentiasa ke surau.

“Selain itu, kita turut membina pondok dan wakaf di kawasan sekolah yang berfungsi sebagai lokasi membaca al-Quran dan juga bahan-bahan bacaan lain tatkala mereka mempunyai masa terluang,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, pihak sekolah turut memperkenalkan program guru penyayang bagi mewujudkan suasana gembira apabila pelajar berada di sekolah.

“Melalui program ini, kita mewajibkan guru-guru menyambut kehadiran pelajar setiap pagi di pintu masuk sekolah secara giliran.

“Bukan sahaja guru-guru bahkan saya juga akan berada di lokasi setiap Selasa, saya nak ibu bapa nampak apa yang kita lakukan agar mereka dan anak masing-masing rasa gembira sebaik berada di kawasan sekolah,” katanya.

Turut diadakan ceramah bertajuk membentuk generasi penyayang (anak-anak jambatan ke syurga) turut disampaikan Ustaz Safri Muhammad Zein di hadapan pelajar, guru dan juga ibu bapa pelajar yang turut sertai program berkenaan. – Sinar Harian

Artikel Berkaitan