Lebih 100 ahli & keluarga ASFC meriahkan Family Day Bowling

Sumber: Selangorkini

SHAH ALAM– Lebih 100 ahli dan anggota keluarga memeriahkan Family Day Bowling Anak Selangor Fan Club (ASFC) 2017 di Plaza Alam Sentral, di sini, hari ini.

Presiden ASFC, Mohd Faizal Wahid berkata, ia merupakan penganjuran kali pertama sejak kelab itu ditubuhkan pada 2003.

“Selalunya kita anjurkan acara permainan bola sepak namun kali ini kita tampilkan kelainan dengan memilih permainan ‘indoor’.

“Menerusi boling, anggota keluarga ahli pun dapat turut serta, seterusnya mengeratkan hubungan silaturrahim sesama ahli,” katanya kepada Selangor Kini.

Selain ahli ASFC, Family Day Bowling ASFC turut dimeriahkan dengan penyertaan bekas pemain bola Selangor dan pasukan kebangsaan, Asmawi Bakiri dan Shamsul Amri Abu Bakar.

“Selalu kami main bola, sesekali main boling semestinya menampilkan keterujaan dan keseronokan kepada semua.

“Diharap ASFC terus bergerak ke hadapan dengan aktiviti amalnya untuk ahli dan masyarakat selain meneruskan sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan Selangor,” kata Asmawi.

Sehingga kini, ASFC mempunyai 147,000 ahli berdaftar dan majoritinya merupakan penyokong pasukan Gergasi Merah. – SELANGORKINI

Artikel Berkaitan