Sama-sama masuk jel 10 tahun

Dua sahabat, Mohamad Aidilfitri Mohd Powet (dua kiri) 21, dan Muhammad Afiq Jamli (kiri)21, dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh Makhamah Seksyen Shah Alam atas cuba membunuh seorang wanita Indonesia dengan mencampaknya ke dalam Sungai Klang pada 6 Februari lalu. Sumber- Harian Metro

SHAH ALAM: Dua sahabat masing-masing dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Seksyen, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan cuba membunuh seorang wanita Indonesia dengan mencampaknya ke dalam Sungai Klang pada 6 Februari lalu.

Hakim Slamat Yahya memerintahkan hukuman itu kepada Mohamad Aidilfitri Mohd Powet dan Muhammad Afiq Jamli, kedua-duanya berusia 21 tahun, selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa memukul Misnah Sri Wahyunengsih, 37, dan memasukkan mangsa ke dalam guni, mengikat kaki serta mencampakkan wanita itu ke dalam Sungai Klang dengan niat mahu membunuh.

Perbuatan itu dilakukan di Jambatan Sungai Klang, Lebuhraya Kota Kemuning Shah Alam (LKSA), Seksyen 24 di sini, kira-kira jam 11 pagi, 6 Februari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Hukuman penjara diarah dijalankan mulai tarikh kedua-dua tertuduh ditangkap iaitu 7 Februari lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Naliatul Huzaimi Ab Rasip dan Muhammad Afiq diwakili peguam Salim Bashir manakala Mohamad Aidilfitri tidak diwakili peguam. – HARIAN METRO

Artikel Berkaitan