Perindu kuasai acara takraw lelaki

Kejohanan Sukan Antara Kolej UiTM (SUKOL) 2017 - DIMENSI

SHAH ALAM: Regu Kolej Kediaman Perindu menyapu bersih pingat emas dan perak bagi acara sepak takraw lelaki Kejohanan Sukan Antara Kolej 2017 (SUKOL 2017) yang berlangsung di Pusat Sukan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, di sini semalam.

Perindu ‘B’ dibarisi Muhd Suhaimi Raklan (tekong) Muhammad Farid Zainal (perejam), dan Muhammad Nazri Mat Nawi (pengumpan) tidak berdepan masalah menumpaskan regu ‘adik-beradik’ Perindu ‘A’ straight set  21-17, 21-11.

Perejam Perindu ‘B’, Muhammad Farid Zainal menyatakan bahawa resipi kejayaan pasukannya adalah keserasian yang telah lama dibentuk pasukan Perindu ‘B’.

“Mungkin kami banyak berlatih dalam satu pasukan yang sama, berbanding pasukan-pasukan lain yang mungkin baru saja dibentuk beberapa minggu yang lalu.

“Alhamdulillah, rezeki hari ini berpihak kepada kami dan saya berterima kasih kepada penyokong dan pengurusan Perindu yang menyokong kami sepanjang perlawanan,” tambah beliau.

Muhamad Farid yang juga pemain sepak takraw UiTM Shah Alam turut menyatakan bahawa latihan yang dilakukan setiap petang bersama rakan sepasukan menjadi kunci kepada kejayaan tersebut.

“Kami akan menjalankan latihan di Dewan Hal Ehwal Pelajar setiap petang bagi menpelbagaikan corak permainan di samping menambahkan keserasian regu masing-masing,” tambah Farid lagi.

Sementara itu regu Mawar ‘B’ menggondol pingat emas  acara sepak takraw wanita akhir dengan menewaskan regu Kolej Kediaman Anggerik pada Sabtu.

SUKOL 2017, anjuran Majlis Pengetua Kolej Kediaman dengan kerjasama Pusat Sukan dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM  akan berlangsung bermula 31 Mac hingga 11 April.- DIMENSI

Artikel Berkaitan