Vaksin berdaftar di bawah KKM dinilai terlebih dahulu

Sumber: Sinar Harian

SHAH ALAM – Setiap vaksin yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah dinilai dari segi kualiti, kesan dan keselamatan sebelum ia didaftarkan dan dipasarkan di Malaysia.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, namun vaksin juga tidak terlepas daripada memberi kesan sampingan terhadap sesiapa yang mengambilnya.

“Jadi amatlah penting untuk memberi informasi yang tepat dan sahih kepada masyarakat bagi memenangi kepercayaan masyarakat kepada perkhidmatan yang disediakan oleh KKM,” katanya ketika menjawab pertanyaan Datuk Kamarul Baharin (Telok Kemang-PKR) di Parlimen di sini, hari ini.

Katanya, dalam pada itu bagi membantu ibu bapa mendapat maklumat yang tepat dan sahih untuk melindungi anak-anak dan masyarakat, KKM telah melancarkan Kempen Penggalakan Komunikasi Kebangsaan 2016-2020.

“Selain daripada itu, Kit Info Imunisasi bagi orang awam telah disediakan dan diedarkan ke klinik kesihatan, ceramah, kursus, bengkel dan penerbitan buletin yang berkaitan keselamatan vaksin disampaikan dari masa ke masa kepada anggota kesihatan yang terlibat,” katanya.

Dalam pada itu, katanya pihak KKM juga terlibat di dalam forum dan dialog bersama orang awam bagi menerangkan isu berkaitan dengan vaksin.

“KKM juga telah bekerjasama dengan Persatuan Pediatrik Malaysia untuk membangunkan laman sesawang ‘Immunise4Life‘ semenjak tahun 2013 bagi mendidik serta memberi maklumat kepada orang ramai mengenai penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin dan kepentingan imunisasi,” katanya.

Katanya, inisiatif ini telah menampakkan kesan positif di mana liputan imunisasi bagi MMR (Melease, Mumps, Rubella) telah meningkat dari 93.07 peratus pada tahun 2015 kepada 95.72 peratus pada tahun 2016.

“Bagi memperkukuhkan pemantauan keselamatan vaksin, KKM telah mewujudkan beberapa jawatankuasa untuk membincangkan isu berkaitan keselamatan vaksin di Malaysia.

“Jawatankuasa Dasar dan Amalan Imunisasi Kebangsaan (JDAIK) menetapkan dasar-dasar berkaitan program imunisasi di Malaysia,” katanya.

Katanya lagi,selain itu Jawatankuasa Penasihat Kesan Advers Ubat Kebangsaan (Madrac) diwujudkan bagi menilai pelaporan kesan sampingan ubat termasuk vaksin.

“Terdapat juga Jawatankuasa Farmakovigilans Vaksin (JFV) bagi membincangkan data pelaporan kesan advers (seperti kesan kesakitan kemerahan di tempat suntikan) berikutan imunisasi dan membuat cadangan tentang isu keselamatan vaksin termasuk cadangan perubahan polisi,” katanya.

Dan terkini ujarnya, bagi memperkukuhkan lagi penilaian pelaporan  Adverse Events Following Immunisation (AEFI), jawatankuasa Pakar Keselamatan Vaksin juga ditubuhkan bagi membincangkan hubung-kait vaksin dengan AEFI bagi laporan siasatan yang tidak konklusif dan serius.

“KKM akan terus memantau kejadian kesan adverbs selepas pelalian dan isu-isu keselamatan semasa dalam usaha untuk menjamin keselamatan rakyat,” katanya. –¬†SINAR HARIAN

Artikel Berkaitan