Rekreasi hujung minggu bersama vespa

Peserta kem skuter bersiap sedia memulakan konvoi di Taman Botani Negara Shah Alam, baru-baru ini. Gambar: Careta

Sejarah penciptaan motosikal skuter atau lebih kenali sebagai Vespa bermula pada tahun 1945 ketika perang dunia kedua tercetus. Pengasasnya, Rinaldo Piaggio pada awalnya adalah pemilik kilang pembuatan kapal terbang perang di Itali sebelum perniagannya musnah akibat dibom.

Akibat peperangan tersebut, ekonomi dunia turut merosot dan ia telah mendorong Rinaldo menukar arah dengan menghasilkan kenderaan baru yang lebih kecil dan kompak bagi memenuhi keperluan rakyat negaranya yang tidak mampu memiliki kenderaan sendiri.

Maka Piaggio dengan kerjasama Corradino D’ascanio menghasilkan kenderaan yang dipanggil Vespa. Ideanya ringkas, harganya murah serta boleh digunakan oleh lelaki mahupun wanita, dan tidak mengotorkan pakaian kerana jalan raya sangat kotor pada ketika itu.

Di Malaysia, trend memiliki motor Vespa diterima baik oleh semua lapisan masyarakat terutama kalangan anak muda. Malahan, sebilangan daripada mereka menerajui kelab permotoran dengan sendiri seperti Haniff Amin yang merupakan Pengerusi Kelab Skuter Klang Bandar Diraja.

Atas dasar minat yang mendalam terhadap dunia permotoran tersebut, beliau serta ahli-ahli kelab yang lain dengan kerjasama Pengarah Taman Botani Negara Shah Alam, A’sim Md Ali, telah mengambil inisiatif mengadakan Scootercamp Selangor baru-baru ini.

“Inspirasi disebalik program ini datangnya daripada minat terhadap dunia permotoran (Vespa) inilah dan pada masa yang sama A’sim Md Ali sendiri telah memberikan kepercayaan beliau kepada saya untuk melakukan sesuatu kelainan,” kata Haniff Amin.

Menurut beliau juga, program ini julung kalinya diadakan di Malaysia dan sambutannya agak memberansangkan.

Ali Noordin, salah seorang peserta program tersebut berkata, banyak yang boleh diperolehi daripada program tersebut seperti berjumpa semula dengan rakan-rakan lama yang jauh selain mengeratkan silaturrahim.

Program yang berlangsung di Taman Botani Negara Shah Alam itu turut menerima perserta dari luar negara seperti Singapura dan Indonesia.

“Program ini merupakan sebuah program yang amat menarik bagi saya,” kata peserta dari German, Kalle.

Kem yang berlangsung selama dua hari satu malam itu padat dengan pelbagai aktiviti menarik seperti pameran auto, pertandingan gambar, scooter cross, tazkirah daripada Imam Muda Asyraf dan aktiviti pada malam hari iaitu persembahan akustik, doa selamat dan BBQ.

“Kami adakan pertandingan gambar untuk menghargai alam sekitar dan pada masa yang sama bertujuan untuk komersialkan Taman Botani Negara Shah Alam,” jelas Haniff Amin.

Syarat pertandingan tersebut ialah peserta diwajibkan bergambar dengan berlatar belakangkan keindahan Taman Botani Negara Shah Alam dan Vespa sebagai objek utama gambar.

”Buat julung kalinya aktiviti Scooter Cross diadakan di Malaysia. Ini kerana sering kali kita dengar ialah aktiviti Motorcross tetapi kali ini kita cuba suatu kelainan,” tambah Haniff.

Haniff Amin, selaku penganjur program Scootercamp Selangor berharap program ini akan diteruskan untuk tahun-tahun berikutnya. – DIMENSI

Artikel Berkaitan