Bantu golongan OKU gunakan teknologi

Gambar : Berita Harian

Nur Hamimah Nazarudin (kiri) menerima cenderahati daripada pihak APB UiTM – Gambar Dimensi

SHAH ALAM – Pendidikan konvensional menggunakan ‘pensel dan pemadam’ dilihat kurang berkesan untuk kanak-kanak Orang Kelainan Upaya (OKU), sebaliknya penggunaan teknologi moden lebih sesuai dijadikan medium pembelajaran.

Guru Pendidikan Khas untuk kanak-kanak Cerebral Palsy (CP), Nur Hamimah Nazarudin, berkata penggunaan teknologi seperti komputer dalam pendidikan mampu meningkatkan keupayaan pembelajaran mereka dengan menjadikan teknologi berkenaan sebagai medium untuk kanak-kanak ini menterjemah pengetahuan mereka.

Tambahan pula, peluang pekerjaan untuk kanak-kanak OKU ini amat luas jika mereka didedahkan dengan cara penggunaan teknologi yang betul.

Namun, kesukaran golongan ini menempatkan diri dalam persekolahan menyukarkan mereka untuk masuk kealiran pekerjaan kerana mereka tiada kemahiran bersosial dan kemahiran asas seperti bertanya khabar.

“Kesedaran pendidikan sebenarnya belum sampai pada tahap yang diinginkan. Ramai kanak-kanak tidak dapat masuk sekolah kerana tahap penerimaan mereka ke sekolah sangat rendah.

“Salah satu sebabnya kerana tiada kemudahan yang disediakan dan terikat dengan syarat kemasukan iaitu perlu pandai urus diri di tandas,” jelas Hamimah.

Beliau menjadi anggota panel forum ‘Hari Al-truisme APB 2017, Al-truisme menjana kesejahteraan masyarakat’ anjuran Fakulti Akademi Pengajian Bahasa (APB) Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Program tersebut juga mendapat kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Helping the Underprivileged Groups (HUGs).

Panel lain termasuklah pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU) Sharifah Nadhira, dan Ketua Pegawai Eksekutif Wafa Therapy Centre Occupational Therapist, Aabidah Ab Ghani.

Selain itu, Hamimah menjelaskan penggunaan seperti komputer dapat membantu kanak-kanak ini menulis menggunakan papan kekunci dan membina ayat dengan lebih cepat seawal umur lima tahun.

“Jika kita terus memaksa mereka menulis menggunakan pensel dan pemadam, mereka mungkin boleh menulis, tetapi setelah mereka mencecah umur 13 tahun” kata beliau.

Tambah beliau, penggunaan ‘abacus’ atau sempoa sebagai bahan belajar juga sebenarnya melambatkan kemahiran mengira mereka kerana kewujudan kalkultor pada hari ini tidak digunapakai sebaiknya.

Walau bagaimanapun, beliau berkata isu utama apabila menyediakan teknologi di sekolah ialah isu keselamatan kerana tiada pihak yang ingin bertanggungjawab terhadap sebarang kerosakan yang timbul kelak.

Oleh itu, beliau menyarankan supaya ibu bapa menyediakan kemudahan komputer di rumah dan mengkhaskan komputer tersebut sebagai bahan belajar anak-anak mereka. – Dimensi

 

Artikel Berkaitan