Peningkatan kos hidup, syarat pinjaman perumahan halang bumiputera miliki hartanah sendiri

Seorang pengunjung mendengar penerangan berkaitan sebuah projek perumahan semasa BPEX2017, semalam.

SHAH ALAM- Peningkatan kos hidup dan syarat pinjaman perumahan yang ketat oleh institusi kewangan terus menghantui orang ramai terutamanya golongan bumiputera untuk memiliki hartanah pertama mereka.

Perkara tersebut didedahkan hasil tinjauan Dimensi semasa Pameran Harta Tanah Bumiputera 2017 (BPEX2017) yang diadakan di sebuah pusat konvensyen di Shah Alam, baru-baru ini.

Suri rumah, Norezah Nong, 45, menyuarakan kebimbangannya tentang trend peningkatan harga rumah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Masalah pemilikan hartanah berpunca daripada kos sara hidup yang tinggi serta kesukaran untuk mendapatkan pinjaman daripada pihak bank yang meletakkan pelbagai syarat semasa membuat permohonan.

“Bagi individu yang tidak mempunyai pekerjaan tetap, keadaan akan menjadi lebih rumit kerana mereka tidak mempunyai satu dokumen yang kukuh untuk meyakinkan pihak bank bagi memberikan pinjaman,” katanya.

Lain pula bagi Muhammad Khairul, 23, yang mengaitkan komitmen untuk membayar balik pinjaman pendidikan sebagai faktor yang menambahkan lagi kesulitan pembeli rumah.

“Apabila berlaku kelewatan pembayaran balik pinjaman pendidikan, ia secara langsung akan menjejaskan peluang pembeli memiliki hartanah sendiri.

“Hal ini kerana pihak bank akan menyemak prestasi pembayaran pemohon untuk pinjaman terdahulu  bagi memastikan mereka mampu membuat pembayaran balik mengikut jadual yang ditetapkan,” ujarnya.

Seorang lagi pengunjung yang hanya mahu dikenali Sarimah, 54, mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan satu mekanisma kawalan harga rumah bagi membolehkan orang ramai terutamanya golongan muda memiliki kediaman sendiri.

“Ramai golongan muda terpaksa melupakan hasrat membeli rumah pertama mereka kerana faktor pendapatan yang rendah selain harga rumah yang tinggi,” jelasnya lagi.

Untuk rekod, pemilikan hartanah bumiputera jauh ketinggalan berbanding bukan bumiputera pada suku pertama tahun lalu dengan nisbah transaksi pembelian sebanyak 20.5 peratus, manakala bukan bumiputera ialah 73.2 peratus dan baki 6.3 peratus ialah daripada syarikat. – Dimensi

Artikel Berkaitan