Guru cipta kerusi tenis bantu pelajar autisme

Amy mempamerkan kerusi bola tenis yang dihasilkannya untuk membantu pembelajaran kanak-kanak autisme. ABC News

Illinois – Cetusan idea kreatif seorang guru yang mencipta kerusi bola tenis untuk membantu pelajar-pelajar autisme menjadi tular di media sosial.

Amy Maplethorpe, ahli patologi pertuturan bahasa tahun pertama di Sekolah Rendah Raymond Ellis menghasilkan dua buah kerusi yang mampu membantu pelajar-pelajar autisme yang mempunyai masalah deria.

“Dengan bantuan kerusi ini, pelajar autisme menjadi lebih sabar, mudah mengikut perintah, dan kegelisahan mereka menurun sementara menunggu aktiviti seterusnya,” kata Amy.

Kerusi tersebut bercirikan permukaan tempat duduk yang sesuai untuk meningkatkan keberkesanan deria mereka, menurut laman Facebook sekolah itu yang tular di media sosial.

“Kerusi bola tenis ini dapat memanfaatkan 15 hingga 20 pelajar autisme yang mempunyai masalah deria di sekolah ini,” katanya lagi.

Sebuah organisasi advokasi autisme ‘Autism Speaks’ memberitahu, kanak-kanak autisme sering mempunyai masalah untuk memproses maklumat yang melibatkan deria mereka.

“Untuk menenangkan fikiran mereka,barangan seperti jaket, selimut dan kerusi bola tenis yang dicipta Amy dapat membantu mereka ketika pembelajaran,” menurut laman web organisasi tersebut.

Amy mendapat inspirasi untuk menghasilkan kerusi bola tenis selepas melihat item yang menyerupainya di laman web Pinterest dan menginovasikannya.

“Saya teruja bahawa kerusi ini mampu memberi manfaat kepada pelajar-pelajar saya dan saya akan terus menangani masalah pembelajaran dalam kalangan pelajar di sekolah ini,” katanya lagi.

Menurut Pengetua Beth Kiewicz, kedua-dua buah kerusi bola tenis tersebut diletakkan di dalam ‘bilik deria’ sekolah yang dihasilkan baru-baru ini khas kepada pelajar autisme.

“Apabila keperluan pembelajaran kanak-kanak autisme ini dipenuhi, maka ia membolehkan kita untuk fokus kepada keperluan akademik mereka pula.

“Anda perlu melihat secara keseluruhan pada kanak-kanak tersebut, iaitu dari segi sosial, emosi dan akademik. Itulah sebabnya kita (guru) berada di sini,” tambah beliau lagi. – ABC News

Artikel Berkaitan