Masih ramai penjaja kecil, pemilik restoran enggan ambil suntikan Typhoid

Datuk Bandar Shah Alam, Dato' Ahmad Zaharin Mohd Saad bersama anggota-anggota penguatkuasa MBSA menjalankan operasi pemeriksaan di sebuah restoran di bandaraya ini. Gambar: FB MBSA

SHAH ALAM- Masih ramai penjaja kecil dan restoran di sekitar bandaraya ini didapati enggan mengambil suntikan Typhoid atau TY2 biarpun telah diberi amaran keras dan dikenakan tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa tempatan sebelum ini.

Pegawai Kesihatan Persekitaran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Norhisham Mohammad berkata, pelbagai alasan diberikan kumpulan peniaga tersebut seperti sibuk dan perlu melalui proses yang rumit untuk mendapatkan suntikan.

Katanya, sikap berkenaan pastinya mengundang impak negatif bukan sahaja kepada peniaga malah pelanggan mereka sendiri.

“Suntikan ini adalah untuk semua pengendali makanan termasuklah juruwang.

“Premis makanan boleh dikenakan kompaun sekiranya gagal mengemukakan bukti suntikan TY2,” jelasnya.

Beliau mengulas penularan wabak selesema burung (H5N1) dan penyakit Influenza A (H3) di dua negeri iaitu Perak dan Kelantan baru-baru ini.

Dalam kejadian di Perak, beberapa pelajar di sekitar Ipoh didapati positif H3 selepas menunjukkan gejala demam, batuk, sakit tekak, sakit otot, sakit kepala, kelesuan dan selesema sepanjang tujuh hari.

Kejadian sama turut menyaksikan 170 unggas dimusnahkan di Kelantan dalam usaha pihak berkuasa membendung penularan wabak berkenaan.

Tambah Norhisham lagi, pihaknya memandang serius kejadian tersebut walaupun ianya tidak berlaku di Selangor.

“MBSA akan terus mengadakan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan setiap premis makanan berada dalam keadaan bersih dan sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan,” ujarnya lagi. – Dimensi

Artikel Berkaitan