Sultan Selangor, Tengku Permaisuri Lancar Kempen ‘Stray Free Selangor – Kaedah Berperikemanusiaan’

Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor melancarkan program "Stray Free Selangor" di SACC, Shah Alam. Gambar: Selangorkini

SHAH ALAM – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin hari ini berkenan melancarkan kempen ‘Stray Free Selangor (SFS) – Kaedah Yang Berperikemanusiaan’.

Turut sama melancarkan kempen SFS itu ialah Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah. Hadir sama Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Tengku Permaisuri Norashikin merupakan Penaung Diraja bagi kempen berkenaan yang dianjurkan oleh Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan (SPCA) Selangor.

Kempen SFS memfokuskan kepada mendidik masyarakat erti kemanusiaan terhadap haiwan jalanan selain menggalakkan semua pihak bekerjasama melakukan kembiri haiwan jalanan secara besar-besaran dan menyediakan perlindungan kepada mereka.

Penaung SPCA Selangor Tan Sri Lee Lam Thye berkata kempen itu merupakan yang pertama seumpamanya dianjurkan badan bukan kerajaan di negara ini, bermatlamat mengawal populasi haiwan jalanan dan seterusnya membendung penularan wabak penyakit berkaitan.

“Saya sudah berbincang dengan Menteri Besar dan beliau bersetuju untuk mengaturkan perjumpaan dengan semua pihak berkuasa tempatan di Selangor bagi memberi pendedahan serta penjelasan tentang program ini dan kepentingan pematuhan Akta Kebajikan Haiwan 2015,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Pengerusi SPCA Selangor Christine Chin pula berkata penganjuran kempen SFS adalah usaha ke arah perubahan radikal bagi mewujudkan kelompok masyarakat yang penyayang terhadap haiwan jalanan.

Katanya kempen menjurus kepada penggantian kaedah ‘tangkap dan bunuh’ haiwan jalanan yang dilihat kurang berkesan, tidak berperikemanusiaan, tidak beretika selain mahal.

Beliau berkata pihaknya turut menyediakan subsidi sehingga 80 peratus bagi mengembiri kucing jalanan dan 50 peratus untuk anjing.

“Memang kaedah pengawalan populasi tidak akan menyelesaikan masalah haiwan jalanan dalam masa singkat namun ia dilakukan sebagai langkah jangka panjang yang mana pada masa depan, bilangan haiwan jalanan terbiar semakin menurun.

“Disebabkan itu, kita amat galakkan semua pihak bekerjasama mengambil pendekatan sebegini selain mengambil haiwan jalanan sebagai peliharaan dan bukan membelinya,” katanya. – BERNAMA

Artikel Berkaitan