BPEX tawar 3,800 unit hartanah

Antara pengunjung yang mengunjungi booth pemaju perumahan pada Pameran Hartanah Bumiputera tahun lepas. Gambar: MMC

KUALA LUMPUR – Pameran Hartanah Bumiputera (BPEX) 2017 yang bakal berlangsung selama dua hari bermula 25 hingga 26 Mac ini menawarkan 3,800 unit pelbagai jenis hartanah bernilai RM2 billion.

Pengarah Bahagian Jualan MediMesra Sdn. Bhd., yang juga penganjur BPEX, Mohd Azmi Mohd Aris, berkata pameran yang berlangsung di Shah Alam Convention Centre (SACC) turut menyasarkan perolehan jualan berjumlah lebih RM300 juta.

Beliau berkata, ia akan disertai seramai 33 pemaju di serata Malaysia yang menawarkan hartanah perumahan dan komersial bernilai antara RM160, 000 hingga RM1 juta seunit.

“Unit hartanah yang ditawarkan membabitkan rumah kediaman pelbagai jenis termasuk teres, kembar, bertingkat, kondominium, rumah kedai, pejabat dan lot komersial.

“Sebanyak 50 gerai jualan dan pameran akan ditempatkan di ruang legar SACC berkenaan bagi memudahkan orang ramai membuat pilihan memiliki kediaman sendiri,” katanya.

Jelas Azmi lagi, pihak bank seperti CIMB Bank juga turut menawarkan perkhidmatan kaunseling bagi para pengunjung yang ingin membuat peminjaman perumahan.

Tambah beliau, pameran ini diadakan bagi memudahkan orang ramai membuat pilihan dan merujuk maklumat perumahan yang ditawarkan oleh para pemaju perumahan.

“BPEX adalah satu platform ideal bagi orang ramai bertemu pemaju, pembiaya kewangan dan pakar hartanah dengan pelbagai hartanah kediaman serta komersial di bawah satu bumbung.

“Pameran ini bukan sahaja memberi peluang kepada para pemaju untuk mempamerkan produk hartanah masing – masing tapi turut memberi peluang kepada orang ramai membuat penilaian dan pemilihan sebelum membeli hartanah,” ujar beliau.

Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai Pameran Hartanah Bumiputera boleh menghubungi pihak penganjur MMC Sdn Bhd di talian 03 – 4142 1151 atau 03 – 4142 3658. – Dimensi

Artikel Berkaitan