Antlers yakin juarai saingan KVLSL

Antara aksi pemain Antlers dalam saingan Liga Super KVSL musim ini. Gambar: gettheimages.blogspot.com

Pasukan bolasepak Shah Alam Antlers yakin mampu menjulang Piala Liga Super Lembah Klang (KVLSL) musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif pasukan itu, Ahmad Yani percaya bahawa pasukannya berada pada kedudukan terbaik untuk muncul juara selepas menang 3-0 keatas Level Up dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Panasonic, Sabtu lalu.

“Kami yakin kami mampu juarai KVL Super League walaupun misi utama kami hanya mahu mewujudkan uniti di dalam kominiti di samping menjadikan Shah Alam sebagai kelab bolasepak komuniti yang profesional dari pelbagai sudut.

“Saya cukup kagum dengan prestasi pemain dan juga semua pengurusan yang telah bermatian bekerja keras bagi memastikan pasukan berada di tahap ini,” katanya kepada Dimensi.

Pasukan yang berpangkalan di Stadium Panasonic Seksyen 21 Shah Alam ini berada di puncak Liga Super Lembah Klang dengan 37 mata dari 13 perlawanan dengan mencatat 12 kemenangan serta satu seri.

Antlers mendahului pasukan Terrapins yang berada di kedudukan kedua dengan 33 mata diikuti SA United, 29 mata di tangga ketiga dalam saingan liga yang berbaki dua perlawanan lagi.

Sementara itu, perancang  tengah SA Antlers, Amares Singh yang juga seorang pensyarah di Univerti SEGI, memasang impian untuk membawa pasukan ini dari pasukan semi-pro sehingga menjadi sebuah kelab profesional yang boleh berdiri sama tinggi dengan pasukan elit di Malaysia.

“Orang lain mungkin anggap cita-cita kita untuk pergi ke Liga Super sebagai angan-angan Mat Jenin. Tetapi dengan penyokong dan pengurusan yang kita ada sekarang, saya pasti ia bakal tercapai,” – Dimensi

Artikel Berkaitan