TN50 boleh dicapai jika ada kesungguhan – PM

Najib ketika menyampaikan ucapan perasmian penutupan Konvensyen Nasional Penyatuan Bangsa 2016. Gambar: DImensi/ Amirahwani

Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun razak berkata, agenda Tranformasi Nasional (TN50) tidak akan dapat dicapai sekiranya rakyat negara ini tidak mempunyai kesungguhan untuk berjaya.

Kata Perdana Menteri, rakyat Malaysia harus mempunyai sifat laparkan kejayaan dan tidak terlampau selesa dengan pencapai ketika ini sekiranya mahu berjaya di peringkat global.

“Ketika lawatan saya ke China apa yang dapat saya simpulkan adalah 1.3 bilion rakyat di sana menerapkan sifat berdaya saing untuk berjaya,” katanya ketika merasmikan penutupan Konvensyen Nasional Penyatuan Bangsa 2016 di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC) Universiti Teknologi MARA (UiTM), di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh, menteri-menteri kabinet, Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Dato’ Dr Hassan Said dan Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM, Prof Dr Azizul Halim Yahya.

Perdana Menteri berkata, TN50 merupakan impian masa hadapan dan ia harus bermula dari akar umbi supaya semua kepentingan kaum diambil kira tetapi keindukkannya masih lagi untuk bangsa Melayu dan bumiputera.

“Jika kita ingin melihat kehadapan, kita harus melihat dari mana kita datang dan apabila kit’a melihat semula sejarah, tamadun kita dan asal usul kita telah diterjemahkan dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Sementara itu Najib juga berkata, laporan terkini Khazanah National mendapati faktor mobiliti sosial yang paling berkesan adalah melalui pendidikan dan kemahiran

Justeru katanya, semua kaum perlu mendapat peluang pendidikan supaya kedudukan mereka akan jauh lebih baik.

“Kerajaan akan memastikan anak-anak daripada golongan Kumpulan Bawah 40 (B40) tidak terus kekal dalam kelompok tersebut selamanya,” ujarnya lagi. –Dimensi

Artikel Berkaitan