Tokoh korporat garis 4 pendekatan perkasa ekonomi Melayu

Reaksi Muhammad Ali ketika membentangkan kertas kerjanya. Gambar: Dimensi/ Amirahwani

Tokoh korporat, Tan Sri Muhammad Ali Hashim menggariskan empat perkara utama untuk memperkasakan ekonomi Melayu.

Beliau berkata, antara perkara yang menjadi keutamaan ialah wakaf korporat wajar dibangunkan agar manfaat syarikat peneraju Melayu dapat dikembaikan semula kepada masyarakat.

Kini adalah masa yang sesuai untuk membangunkan wakaf korporat kerana sistem kapitalis yang berlandaskan liberalisasi, kompromi dan korupsi harus dihapuskan.

Mengenai perkara kedua, beliau berkata, sistem ekonomi darurat wajib dilakukan bagi membanteras ketidakadilan dan kezaliman supaya dapat mengubah sistem yang sedia ada.

“Sistem ekonomi darurat yang berlandaskan bisnes bergenerasi ini dapat menjana keuntungan dalam jangka masa panjang seterusnya membantu orang Melayu mencapai milikan ekuiti sebanyak 60 peratus,” kata bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Johor Corporation (JCORP) itu.

Menyentuh perkara ketiga mengenai penolakan penswastaan, Muhammad Ali berkata syarikat peneraju Melayu tidak perlu diswastakan.

“Faktor utama yang menyebabkan kemerosotan ekonomi orang Melayu adalah apabila syarikat diswastakan dan ini telah menyebabkan berlaku kebocoran,” katanya.

Perkara keempat adalah menjadikan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai institusi korporat amanah.

Melalui cara tersebut, kata Muhammad Ali, GLC diberi kebebasan kerana mereka diamanahkan untuk memberi manfaat kepada masyarakat. –Dimensi

Artikel Berkaitan