Kerajaan digesa semak semula bajet pendidikan

Malaysia memerlukan tenaga profesional menjelang tahun 2020. Gambar: mstar.com.my

Kerajaan digesa menyemak semula bajet pendidikan yang dibentangkan dalam Bajet 2017 baru-baru ini bagi memastikan golongan Melayu dan bumiputera mendapat peruntukan yang sewajarnya.

Hal ini kerana golongan tersebut masih memerlukan bantuan dan sokongan daripada kerajaan untuk mendapatkan pendidikan yang berkualiti.

Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dato’ Dr. Sidek Baba, menegaskan bahawa bajet pendidikan tidak wajar dikurangkan, malah perlu ditambah untuk mendokong agenda besar membantu generasi muda melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Bajet pendidikan terutama yang diperuntukkan untuk para pelajar di luar negara tidak perlu dikurangkan kerana bukan suatu perkara yang mudah untuk menyambung pengajian hingga ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

“Peruntukan dana sektor yang lain boleh lagi dipotong tetapi tidak wajar memotong dana untuk pendidikan yang menjadi tonggak utama kemajuan negara,” beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peserta konvensyen, di Dewan Agung Tuanku Canselor, di sini.

Pandangan tersebut turut disokong mantan Pengarah Penyelidikan di Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Dr. Muhamed Abdul Khalid yang menyelar sikap orang Melayu yang meletakkan isu subsidi minyak masak sebagai perkara yang begitu penting berbanding bajet pendidikan yang dikurangkan.

Dr Muhamed turut melahirkan kebimbangannya terhadap kemampuan negara dalam mencapai sasaran melahirkan 60 peratus golongan profesional menjelang tahun 2020.

“Malaysia tidak mungkin dapat mencapai target 60 peratus golongan profesional dalam masa tiga tahun sekiranya sistem pendidikan sekarang hanya bergantung pada penilaian akademik semata-mata tanpa mempertimbangkan latar belakang keluarga seperti yang pernah dilakukan dahulu.

“Sebelum ini, untuk memasuki sekolah berasrama penuh atau Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mempertimbang latar belakang keluarga dan mendahulukan pelajar daripada golongan miskin, tetapi sekarang KPM menggunakan konsep kesamarataan iaitu tidak mengambil kira latar belakang sebaliknya meletakkan syarat di mana semua pelajar mestilah mendapat A untuk semua matapelajaran,” jelasnya lagi.

Hal ini katanya, menjadi tidak adil bagi golongan miskin kerana mereka tidak mendapat akses yang mencukupi dalam pendidikan, jadi mereka akan terus terhimpit sekaligus tidak berkesempatan untuk memperbaiki nasib untuk menjadi lebih baik. –Dimensi

Artikel Berkaitan