Arca Penyatuan Bangsa tarik perhatian Sultan Perak

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah tekun mendengar penerangan penjelasan yang diberikan Ramlan (kiri) mengenai arca Penyatuan Bangsa sambil diperhatikan oleh Naib Canselor UiTM, Profesor Emeritus Dato' Dr Hassan Said. Gambar: Dimensi/AmirahWani.

Arca Penyatuan Bangsa yang dipamerkan di ruang pameran Konvensyen Nasional Penyatuan Bangsa di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC) berjaya menarik perhatian Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang meluangkan masa kira-kira lima minit mendengar penjelasan berhubung proses penghasilannya.

Baginda turut bertanyakan beberapa soalan kepada pereka arca iaitu pensyarah Jabatan Seni Halus, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Madya Ramlan Abdullah.

Pembinaan arca tersebut bertujuan menjadikan konvensyen berkenaan lebih signifikan dan berimpak.

Berbentuk segi enam, arca tersebut adalah menifistasi pemimpin dan pemikir yang berkongsi pengalaman dan pengetahuan.

Selain menjadi simbol kesatuan dalam kepelbagaian negara yang dinamik dan berwawasan tinggi, arca yang dibina daripada bahan tembaga itu, turut membawa maksud penubuhan UiTM yang telah mencecah usia 60 tahun.

Arca ini juga berjaya menarik perhatian pengunjung dan peserta Konvensyen Nasional Penyatuan Bangsa. –Dimensi

Artikel Berkaitan