UiTM berjaya penuhi visi, misi orang Melayu – Raja Nazrin

Penambahan kampus-kampus baharu di seluruh negara dilihat sebagai antara strategi untuk terus memperkasa peranan UiTM dalam membantu orang Melayu. Gambar: GDP web UiTM

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah, bertitah penubuhan Universiti Teknologi MARA (UiTM), telah berjaya memenuhi visi dan misi untuk membangunkan sumber manusia Melayu.

Titah baginda ,puluhan ribu graduan yang dihasilkan oleh UiTM telah dapat mengeluarkan keluarga mereka daripada kepompong kemiskinan, dan puluhan ribu yang berada dalam kategori menengah Melayu hari ini, terdiri daripada graduan UiTM.

“Kejayaan yang dicapai, telah menjadi sumber inspirasi untuk mencipta kejayaan lebih gemilang,

“Setelah enam puluh tahun penubuhannya, UiTM kini memiliki enrolmen 165 ribu pelajar, disokong dengan kekuatan lima ratus program pengajian akademik yang dikendalikan oleh 24 fakulti serta empat pusat pengajian,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Titah Diraja Konvensyen Nasional Penyatuan Bangsa 2016 yang berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), Universiti Teknologi MARA (UiTM), disini, hari ini.

Titah Baginda, peningkatan angka golongan menengah Melayu, setidak-tidaknya membantu, menyediakan orang Melayu dengan satu angkatan baru yang memiliki modal insan dan modal budaya yang lebih tinggi, serta secara tidak langsung dapat mengurangkan kegelisahan bangsa seperti yang diperingatkan oleh Tan Siew Sin dalam ucapannya, “an economically depressed Malay community in a prosperous Malaya will not mean a peaceful Malaya”.

“UiTM berjaya melatih tenaga profesional bumiputera, sekali gus turut memenuhi strategi serampang dua mata Dasar Ekonomi Baru; pertama: untuk membasmi kemiskinan, dengan meningkatkan pendapatan dan menambah peluang pekerjaan untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum,

“UiTM bukan sebarang universiti, UiTM sebuah universiti yang dibangunkan berlatarbelakang agenda Melayu mempunyai visi dan misi khusus untuk Melayu,” titah Baginda.

Konvesyen Nasional Penyatuan Bangsa 2016 mengangkat tema “Menyingkap Perjuangan Bangsa”  dengan fokus utama kearah usaha memperkasakan semangat perpaduan dan penyatuan bangsa dengan membawa semangat perpaduan dalam kepelbagaian.

Konvensyen Nasional Penyatuan Bangsa 2016 yang berlangsung selama tiga hari bermula 8 hingga 10 November 2016, merupakan anjuran pertama oleh pihak UITM bersempena sambutan ulang tahun UiTM ke 60.- Dimensi

Artikel Berkaitan