Kajian DNA bangsa Melayu tarik perhatian peserta

Kajian berkaitan DNA dapat merungkai asal usul sesuatu bangsa dan mengenal pasti keunikan bangsa tersebut. Gambar: dna-explained.com

Pembentangan kertas kerja Pengarah Pusat Penyelidikan Biokimia Analisis Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr Zafarina Zainuddin mengenai DNA dalam merungkai sejarah silam dan asal usul bangsa ternyata menarik perhatian peserta Majlis Konvensyen Nasional Penyatuan Bangsa 2016 di sini, hari ini.

Setiausaha Bahagian Panel Perunding Perpaduan Ummah Majlis Dakwah Negara, Dato’ Ghazali memberitahu bahawa beliau banyak belajar mengenai asal usul orang Melayu melalui pembentangan kertas kerja tersebut.

Katanya, pengisian yang dikongsikan benar-benar membuka minda dan pemikirannya dalam pelbagai bidang melibatkan orang Melayu.

“Daripada perbentangan ini, saya belajar banyak benda dari segi saintifik, pembangunan serta sejarah konteks itu,” katanya.

Seorang lagi peserta, Tengku Abdul Karim Tengku Abdul Razak memuji pembentangan tersebut apabila melahirkan rasa kagumnya terhadap kajian yang dijalankan Dr Zafarina dan mengikutinya secara dekat.

“Bukti orang Melayu sebagai penduduk asli di Tanah Melayu dapat dilihat melalui kajian DNA tersebut dan ia boleh dijadikan asas sekiranya ada pihak yang mempertikaikan isu tersebut,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, peserta lain, Kasbhuri Sukarti melahirkan kekecewaannya kerana tidak ramai peserta yang hadir pada sesi tersebut memandangkan topik yang dibincangkan begitu menarik dan penting kepada orang Melayu.

“Saya merasa sedih kerana konvensyen nasional ini ialah konvensyen yang dianjurkan universiti Melayu, oleh orang Melayu, untuk bangsa Melayu kini dan akan datang.

“Tetapi yang saya lihat bilangan yang hadir amat kecil sedangkan konvensyen nasional ini merangkumi seluruh Malaysia,” katanya yang turut mendapat sokongan Tengku Abdul Karim.

Tambahnya, majlis konvensyen ini tidak akan dapat mencapai sasaran nasional sekiranya bilangan peserta yang hadir masih berkurang.

Profesor Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr Ahmad Murad Merican turut memberi komen positif mengenai pembentangan ini.

Katanya, kajian Dr Zafarina dalam mengkategorikan gen bangsa berlainan berdasarkan persamaan ciri DNA merupakan satu revolusi kepada bidang kajian yang lain.

“Saya berpendapat kajian Dr Zafarina sangat membantu dalam memudahkan lagi proses kajian- kajian lain dalam membuktikan identiti bangsa Melayu yang hidup pada masa dahulu,” ujarnya. –Dimensi

Artikel Berkaitan