Institusi Beraja masih relevan di Malaysia

Zainal ketika membentangkan kertas kerja bertajuk "Keadilan: sendi pemerintahan Melayu" pada Konvensyen Nasional Penyatuan Bangsa di UiTM Shah Alam, hari ini.

Kewujudan institusi Beraja di negara ini dilihat masih relevan kerana fungsinnya yang penting dalam memastikan kelangsungan survival bangsa Melayu.

Ketua Kluster Sejarah Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara (MPN), Datuk Prof. Dr Zainal Kling berkata, walaupun telah lama mencapai kemerdekaan, orang Melayu masih belum demokratik sepenuhnya.

Justeru katanya, kewujudan institusi Beraja perlu dipertahankan dan diletakkan di tempat yang sewajarnya selaras dengan kedudukannya sebagai institusi unggul orang Melayu.

“Apabila negara kita tidak diakui kewujudannya seperti Palestin, Sulu dan Selatan Thailand, suara kita (orang Melayu) tidak akan didengar, jadi kita perlu menghormati ketua negara yang telah banyak menaikkan dan memperkenalkan negara kita di mata luar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Keadilan: Sendi Pemerintahan Melayu’ dalam Konvensyen Nasional Penyatuan Bangsa 2016.

Tambah Dr. Zainal lagi, mana-mana pihak mempunyai sebarang pertikaian berkaitan Institusi Beraja seharusnya mengambil pendekatan yang rasional, bukannya bertindak secara membuta tuli.

“Dalam menyuarakan pendapat atau pertanyaan kita perlu menggunakan kaedah dan saluran yang betul, bukan dengan menggunakan cara kasar dan tidak beradab,” jelasnya sambil merujuk kepada tindakan seorang pemimpin muda sebuah parti politik yang menggunakan media sosial untuk mengkritik institusi Beraja.

Sementara itu, pakar perlembagaan, Prof. Madya Dr. Shamrahayu Ab Aziz menjelaskan bahawa menurut perlembagaan, raja-raja Melayu mempunyai kuasa budi bicara di mana mereka boleh bertindak atas nasihat atau tanpa menerima nasihat sebagai simbol kuasa mutlak ke atas negara ini.

“Ramai orang menganggap bahawa Raja harus bertindak atas nasihat, namun perlu diakui bahawa Raja mempunyai kuasa untuk bertindak secara mutlak sepertimana yang diiktiraf dalam Raja berpelembagaan,” ujar beliau.

Namun begitu, kuasa budi bicara Raja perlu berpaksikan pekerti yang mulia, jujur, amanah, dan rasional, bagi menaungi kepercayaan agama dan kedaulatan negara.- Dimensi

Artikel Berkaitan