Bajet 2017: “RM100 sangat bermakna buat kami”

Pemberian Bantuan Persekolahan RM100 kepada setiap pelajar daripada keluarga berpendapatan sehingga RM3,000 memanfaatkan 3.5 juta murid. Gambar: GPS Bestari

SHAH ALAM:  Rata-rata ibu bapa dari golongan B40 menyifatkan pengumuman kerajaan untuk meneruskan bantuan persekolahan sebanyak RM100 sangat bermakna buat mereka.

Menurut mereka,  mengambil kira keadaan ekonomi yang kurang memuaskan ketika ini, bantuan kewangan RM100 itu amat bermakna kerana ia sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban dalam menyiapkan keperluan persekolahan anak-anak.

“Saya dan suami menggunakan duit itu untuk membeli peralatan sekolah seperti buku-buku, alat tulis dan sebagainya.  Bantuan ini sangat membantu kami yang mempunyai tiga orang anak yang masih bersekolah,” jelas Nor Azlina Mat Aini, 31.

Azlina yang merupakan seorang suri rumah sepenuh masa , bergantung penuh kepada pendapatan suaminya bagi membayar segala keperluan persekolahan anak-anak mereka.

Seorang lagi suri rumah Zuraidah Mat Desa, 47, yang mempunyai dua orang anak yang masing-masing bersekolah rendah dan menengah melahirkan rasa syukurnya kerana bantuan ini dapat menampung keperluan yang patut dibeli dan dapat menambah keperluan sekolah anak-anaknya yang lain.

“Saya berharap perkara ini dapat diteruskan dalam masa yang akan datang kerana ia dapat membantu orang-orang yang tidak berkemampuan,” jelasnya. 

rm100

 

Turut berkongsi pandangan seorang pekerja pencuci kereta, Abdul Aziz Latiff, 45, bapa kepada dua anak yang masih bersekolah rendah dan menengah.

Menurut Abdul Aziz, dia bersyukur anak-anaknya terpilih untuk menjadi penerima bantuan daripada kerajaan ini.

Dia berkata, wang RM100 itu dapat membantunya menampung beberapa perkara untuk persekolahan anak-anaknya dan menaruh harapan yang tinggi terhadap sumbangan kerajaan itu dalam menangani suasana ekonomi yang mencabar ketika ini.

“Saya berharap supaya kerajaan sentiasa ada satu mekanisme bagaimana mahu membantu golongan seperti kami ini supaya kami dapat menampung hidup kami dalam keadaan sara hidup yang semakin tinggi,” ujarnya lagi.

Sementara itu, penjaja makanan ringan Rosnah Mat Daud, 43, menjelaskan bantuan yang diterima dikhususkan lebih untuk membayar yuran persekolahan tiga orang anaknya kerana peralatan sekolah yang masih elok boleh dipakai semula – Dimensi

 

 

Artikel Berkaitan