Bajet 2017: Pelajar IPT sambut baik pengenalan kad debit

Baucar buku bakal digantikan dengan kad debit pelajar bermula tahun hadapan, sekaligus dapat mengekang aktiviti pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengaut keuntungan dengan cara mudah. Gambar: Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti, KPT

SHAH ALAM – Langkah kerajaan menggantikan baucar buku kepada kad debit disambut baik pelajar-pelajar di institut pengajian tinggi (IPT) sekitar bandaraya ini.

Menurut pelajar Universiti Selangor (UNISEL),  Mohd Naim Saiful Bahri, 22, penggunaan kad debit tersebut memberikan lebih banyak pilihan kepada pelajar dari segi pembelian.

“Perubahan ini membolehkan pelajar  membeli pelbagai barangan keperluan belajar berbanding baucar  buku yang hanya terhad kepada pembelian buku sahaja.

“Secara tidak langsung pelajar akan dapat memaksimumkan manfaat kad tersebut yang sangat membantu terutamanya kepada pelajar yang datang daripada keluarga yang kurang berkemampuan,” ujarnya.

Seorang lagi pelajar universiti tersebut , Mohd Amirul Asraf , 22, melihat mekanisma terbaharu kerajaan itu akan memudahkan dan melancarkan lagi proses pengagihan kad debit yang agak bermasalah sebelum ini.

“Diharapkan kaedah baharu ini dapat mengekang sindiket pembelian baucar buku sebelum ini yang cuba mengambil kesempatan ke atas kelemahan sistem terdahulu,” jelasnya.

kad-debit-pelajar

Biarpun masih kabur dengan penggunaan kad debit, pelajar asasi TESL dari Management and Science Universiti (MSU), Dania Arfah Amir Hamzah, 18, tetap melahirkan rasa syukurnya dan menyokong pembaharuan yang dilakukan kerajaan tersebut.

“Saya kurang jelas tentang cara bagaimana kad tersebut akan diagihkan tetapi ianya wajar dipuji,” tmbahnya lagi.

Bagi pelajar Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Nur Naimah Ismail , 22, pula perubahan yang dilakukan pastinya mempunyai pro dan kontra tersendiri.

Justeru, dia menyarankan supaya kerajaan menjalankan pemantauan berterusan bagi menjamin kejayaan pelaksanaanya.

“Walaupun langkah ini dilihat dapat mengatasi masalah pelajar yang menjual baucar buku kepada pihak ketiga, namun kerajaan perlu membuat penelitian yang lebih bagi memastikan objektif penggunaan kad debit tersebut mencapai matlamatnya,” katanya. – Dimensi

Artikel Berkaitan