Bajet 2017: Diskaun PTPTN ringankan beban graduan

Langkah memberikan diskaun bayaran balik dijangka dapat menggalakkan lebih ramai peminjam membuat bayaran balik menjelang penghujung Disember 2017. Gambar: Government.my

SHAH ALAM – Pemberian diskaun ke atas baki hutang oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ternyata menarik perhatian ramai graduan untuk membayar balik pinjaman mereka secepat mungkin.

Rata-rata peminjam yang ditemui menyifatkan ia sebagai langkah yang mesra peminjam, selain mengurangkan bebanan mereka yang baru menempuh alam pekerjaan.

Graduan Pendidikan Matematik, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Nabila Roslan,25, menyifatkan tawaran tersebut sebagai terlalu menarik untuk dilepaskan.

“Ia (diskaun) menarik perhatian saya dan saya bertekad memulakan bayar balik pinjaman dengan kadar segera sebelum tempoh yang diberikan berakhir pada tahun depan,” jelasnya ketika ditemui pada Istiadat Konvokesyen ke-85 universiti tersebut, di sini.

Dalam usaha menggalakkan peminjam PTPTN membuat bayaran balik, kerajaan mengumumkan diskaun 15 peratus ke atas baki hutang untuk bayaran penuh bermula 22 Oktober 2016 hingga Disember tahun depan.

Diskaun sebanyak 10 peratus turut diberikan untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran, serta diskaun 10 peratus bagi bayaran balik pinjaman melalui potongan gaji atau secara debit mengikut jadual bayaran balik yang ditetapkan.

Seorang lagi graduan UiTM, Muhammad Syukri Aidil,24, yang melihat langkah tersebut sebagai insentif yang sangat baik daripada kerajaan dalam mengurangkan bebanan graduan membayar balik pinjaman.

Sementara itu, graduan Pengurusan Sistem Maklumat, Dalila Umar,24, yang memilih kaedah bayaran secara debit memandangkan kaedah itu lebih mudah dan boleh dilakukan pada bila-bila masa terutamanya bagi graduan yang telah memperoleh pekerjaan.

Artikel Berkaitan