Masyarakat sambut baik kempen tiada telefon bimbit semasa makan

Hubungan antara ahli keluarga akan terus terjamin dengan mengetepikan urusan dengan telefon bimbit. Foto: Google

Kempen ‘Tiada Telefon Bimbit Semasa Makan Malam’ yang dilancarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi menggalakkan ahli keluarga berinteraksi semasa di meja makan mendapat reaksi positif masyarakat di bandar ini.

Seorang kakitangan awam, Jamaiah Ahmad, 48, berkata dia sangat bersetuju dengan pelaksanaan kempen ini kerana penggunaan telefon bimbit semakin berleluasa hingga mengetepikan hubungan antara keluarga sendiri.

“Saya sebagai ibu, sangat kesal sekiranya anak-anak saya leka bermain dengan telefon bimbit di meja makan”, ujar ibu kepada dua anak itu.

Kempen mengehadkan penggunaan alat komunikasi tersebut dilancarkan Menteri KPWKM, Datuk Seri Rohani Abdul Karim baru-baru ini bagi memberi kesedaran kepada orang ramai tentang memaksimumkan masa berkualiti bersama keluarga.

Selain itu, ia juga bertujuan menggalakkan komunikasi bersemuka dalam kalangan ahli keluarga yang dilihat semakin menipis dalam masyarakat ketika ini akibat ledakan teknologi maklumat.

Menurut Rohani, gejala tersebut sangat membimbangkan dengan ibu bapa kini dilihat cenderung menjadikan gajet canggih untuk melekakan anak kecil mereka supaya tidak mengganggu urusan di meja makan.

Pelajar sekolah, Nurain Liyana Zulkefly, 17, pula memberitahu penggunaan gajet ketika makan bersama ahli keluarga tidak sepatutnya diamalkan kerana ia adalah masa terbaik untuk mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.

“Sebagai pelajar yang lebih banyak luangkan masa belajar di sekolah, jadi waktu makan malam adalah waktu yang terbaik untuk saya berbual dengan angggota keluarga saya,” ujarnya.

Pandangan sama turut dikongsi seorang pakar kaunseling keluarga, Nurul Aini Muhiyuddin yang melihat kaitan waktu makan dan pengurusan masa sebagai antara faktor yang menentukan tahap hubungan sesebuah keluarga.

“Makan malam merupakan waktu emas kepada ahli keluarga untuk berbual dan berkongsi cerita di samping dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan.

“Ibu bapa perlu memainkan peranan yang penting dalam memastikan hubungan kekeluargaan terjaga di samping keperluan teknologi dalam kehidupan seharian,” tegasnya..

mug shot noraini liyana

Noraini Liyana.

Jamaiah

Jamaiah.

Nurul Aini, Pakar Kaunseling

Nurul Aini, Pakar Kaunseling.

Artikel Berkaitan