Perniagaan dari perspektif Islam

Exco Keusahawan dalam Persatuan Mahasiswa Hadhari yang berjaya menganjurkan program Smart Young Entreprenuer.

Perniagaan bukanlah suatu bidang yang asing dalam Islam. Bidang ini bukan sahaja  membantu menjana ekonomi individu, malah dianggap sebagai sesuatu ibadah. Rasulullah SAW telah menegaskan bahawa kedudukan perniagaan adalah merupakan suatu kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT sebagaimana sabdanya yang bermaksud: “Sembilan persepuluh sumber rezeki (boleh diperolehi) melalui perniagaan”(Hadis Riwayat Tirmizi).

Mengibas kembali sejarah tamadun Islam, ketika  zaman pemerintahan kerajaan-kerajaan Islam terdahulu seperti Andalusia, Turki Uthmaniyah dan sebagainya, kota-kota besar ini bukan sekadar berfungsi sebagai  pusat pengumpulan ilmu dan kebudayaan malah turut menjadi pusat perdagangan utama suatu ketika dahulu.

Malah, Nabi Muhammad SAW pernah mengikut bapa saudaranya Abu Talib ke Syam sewaktu baginda masih kecil untuk berdagang.Oleh kerana kejujurannya, Baginda SAW diberikan kepercayaan untuk berdagang menjual barangan milik Khadijah yang juga membawanya kembali ke negeri Syam sewaktu baginda di usia remaja. Melalui kisah ini, terbukti bidang perniagaan amat penting dan memberi sumbangan besar dalam Tamadun Islam.

Islam turut menegaskan nilai-nilai murni dalam urusan perniagaan, seperti jujur dan amanah yang harus diamalkan untuk menepati prinsip dan matlamat syariah. Inilah sikap yang seeloknya ada pada setiap individu yang menjinakkan diri dalam dunia perniagaan dan keusahawanan. Menjadi titik persoalan adalah berapa ramaikah usahawan Islam yang mementingkan etika dalam aktiviti perniagaan mereka? Adakah mereka akan sedar bila mereka menyalahi etika Islam dalam urusan perniagaan mereka?

Menyedari, keunikkan perniagan dalam perspektif Islam Persatuan Mahasiswa Hadhari, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, mengajurkan program Smart Young Entreprenuer pada 22 Mei lalu bertujuan untuk membimbing para pelajar terutamanya yang beragama Islam, untuk berniaga dan menjadi usahawan mengikut tata cara Islam. Menurut Bendahari Smart Young Entrepreneur Farihah Raduwan, program yang bertemakan Usahawan Millenia ini merupakan platform bagi mereka yang berminat untuk memulakan perniagaan dan juga membimbing pelajar-pelajar yang beragama Islam yang kurang pemahaman dalam cara perniagaan Islam.

Pada era globalisasi ini, boleh dikatakan masih terdapat golongan yang masih kabur dengan konsep perniagaan Islam. Apa yang mereka faham hanyalah secara umum iaitu konsep halal dan haram sahaja. Tetapi apakah mereka betul-betul memahami intipati utama konsep halal dan haram dalam bidang perniagaan?

Ada juga sesetengah pihak yang beranggapan bahawa sesebuah perniagaan hanya akan berjaya jika keuntungan akan diperoleh secara besar-besaran melalui pengeluaran modal yang sedikit. Oleh itu, konsep bersedekah dalam dunia perniagaan diketepikan atau dilupakan. Mereka lupa budaya bersedekah itu sebenarnya salah satu cara yang lebih efektif untuk menjana keuntungan.

Melalui program yang berbentuk ceramah ini pihak penganjur berharap para peserta bukan sekadar menghadiri program dan duduk mendengar, tetapi turut memahami konsep dan kepentingan untuk mengamalkan nilai-nilai baik dalam Islam serta manfaat yang bakal diterima apabila perniagaan mengikut syariat Islam.

Program yang berbentuk pendedahan keusahawanan ini dihadiri Ketua Pusat Zakat UiTM, Prof Madya Ghafarullahhuddin bin Haji Din sebagai penceramah program. Ini juga merupakan program yang pertama diajurkan pada semester ini dan dihadiri seramai 150 peserta.

Kenyataanya, ramai yang sedar akan maksud hadis Rasullullah SAW yang menyatakan berniaga mendatangkan sembilan pintu rezeki daripada 10. Ini memberi gambaran di mana penglibatan dalam perniagaan bukan sahaja mulia di sisi agama tetapi juga penting dari segi penyusunan masyarakat. Melalui program yang bermutu tinggi ini Farihah berharap agar pendendahan yang secukupnya dapat disampaikan  kepada para pelajar yang ingin berniaga tentang perniagaan mengikut cara Islam agar usul syariah dapat ditegakkan walaupun dari segi perniagaan.

Artikel Berkaitan