Kebangkitan, ledakan karya indie

Gambar: Saiful Asyraf

Kebangkitan buku indie bermula sekitar tahun 2010 di pasaran memberikan satu dimensi dan fenomena baharu kepada generasi muda hari ini dalam menyuntik minat membaca yang kian hilang satu ketika dahulu.

Implikasinyasi media membuat spekulasi dengan mengeluarkan kenyataan bahawa rakyat Malaysia khususnya golongan muda malas membaca.

Namun bagi sesetengah pihak, ada yang merasakan penerbit buku indie tidak mengikut cara betul untuk menerbitkan buku kerana mengamalkan penggunaan bahasa, watak dan jalan cerita yang terlalu bebas.

Sehinggakan ada antara golongan tertentu yang melabelkan buku-buku ini tidak memenuhi piawaian penulisan yang seharusnya dan lebih malang lagi, apabila ia dikaitkan dengan sampah serta tidak berfaedah.

Perkara seperti itu langsung tidak terkesan kepada penerbit buku indie ini kerana mereka lebih bersikap terbuka lebih-lebih lagi banyak memberi peluang dan ruang kepada para penulis muda di luar sana untuk berkarya.

Jika dahulu, golongan lelaki muda jarang untuk mengenggam buku bergenre cinta sampaikan dipaksa untuk mengaku pun segan kerana memiliki buku atau novel seperti ini.

Kini semuanya berubah. Jalanlah ke mana sahaja atau berkunjunglah ke pesta buku atau kedai buku serata tempat, buku-buku daripada penerbit indie inilah yang terus diselak dan dijinjing oleh pembaca muda di mana-mana sahaja tanpa rasa segan dan malu.

Lebih menarik, mereka berkongsi cerita yang sama dengan rakan-rakan lain yang terus membaca novel-novel indie dalam membidas dan berkongsi pengalaman membaca buku ini dari segi iktibar, mesej, nasihat dan juga rekaan kulit buku.

Pelbagai kisah suka duka penerbit-penerbit buku indie ini dalam membangunkan minat membaca. Kini, budaya membaca semakin menjadi trend dan bukan itu sahaja, terdapat banyak syarikat baharu juga syarikat yang sudah lama bertapak dalam industri penerbitan cuba mengikuti jejak penerbit indie.

 

Penerbitan indie mengambil serius dengan menjaga kualiti dalam menerbitkan karya-karya segar generasi muda. Gambar: Saiful Asyraf

Penerbitan indie mengambil serius dengan menjaga kualiti dalam menerbitkan karya-karya segar generasi muda. Gambar: Saiful Asyraf

Indie bukan selamanya

Merujuk pada kumpulan muzik misalnya, muzik indie sudah tidak dikategorikan indie jika sering bermain di corong radio dan juga di televisyen iaitu saluran arus perdana.

Begitu juga buku, mungkin hari ini buku keluaran FIXI, Lejen dan sebagainya dikategorikan sebagai indie, tetapi tidak mustahil ia akan mula bergelar arus perdana satu masa nanti.

Mungkin juga ada syarikat baharu ingin menerbitkan buku yang lebih indie. Apa yang penting bagi penerbit indie ini adalah keadaan ia yang tidak terkongkong, semangat kebebasan berkarya serta bebas menyampaikan apa juga bentuk penulisan.

Ada antara mereka menganggap buku-buku indie tidak menjaga bahasa, tidak memetik buku-buku lain, bagi buku FIXI sendiri, perkara itu sama sekali tidak benar kerana kami menjaga setiap penulisan yang ada di dalam naskhah tersebut.

Dialog dalam novel misalnya, penggunaan bahasa yang digunakan adalah mudah difahami dan dekat dengan pembaca serta tidak dicampur aduk dengan bahasa pasar seperti bahasa mat rempit atau sebagainya.

Ini menunjukkan penulis perlu memainkan peranan dalam menghasilkan sesebuah karya. Semasa FIXI melancarkan tiga buah buku pada permulaan bidang penerbitan dahulu iaitu novel Kougar, Pecah dan Cekik, kesemuanya hasil karya penulis baharu.

Namun hasil daripada pernanan penulis itu sendiri mempromosikan dan menjaga kualiti penulisan mereka, ia masih kekal bertahan sebagai antara buku yang terlaris sehingga ke hari ini.

Akhirnya novel-novel Melayu inilah menjadi pilihan bahan bacaan yang ada terutamanya untuk genre berbeza seperti sains fiksyen, ganas dan kejam, lawak mahupun penyiasatan.

Ini dapat dibezakan pada suatu ketika dahulu yang melihat kebanyakan novel bahasa Melayu di pasaran adalah novel-novel cinta, tetapi kini pelbagai genre novel Melayu boleh dipilih mengikut selera pembaca.

Bagi FIXI sendiri, penulis baharu semakin ramai dan berbakat antara kunci kepada pelbagai karya bermutu dapat dihasilkan dan seterusnya memupuk semangat membaca dalam kalangan orang muda.

 

Lejen Press & FIXI merupakan antara dua nama besar di awal penerbitan buku-buku indie. Gambar: Saiful Asyraf

Lejen Press & FIXI merupakan antara dua nama besar di awal penerbitan buku-buku indie. Gambar: Saiful Asyraf

Kami serius tarik minat pembaca

Setiap tahun sejak penubuhan Lejen Press, mereka tidak pernah ambil sikap acuh tidak acuh dalam menghasilkan karya bermutu bagi tatapan pembaca untuk meningkatkan trend membaca terutamanya dalam kalangan generasi muda.

Trend ini dilihat satu perkara yang baik, tambahan lagi semakin ramai sanggup membazir terlebih membeli buku berbanding 10 tahun lalu, tidak ramai mahu membeli apatah lagi membaca buku.

Terdapat satu pertelagahan pendapat menyatakan kebanyakan orang membeli buku indie kerana cara mereka menterjemahkan muka depan serta cara mempromosikannya dan bukannya membaca, tetapi bagi Lejenpress sendiri, ia adalah lebih baik daripada tidak membeli langsung.

“Lama kelamaan, akan ada satu masa mereka akan membaca buku-buku yang dibeli, seterusnya budaya membaca dapat dipupuk serta berkembang dengan baik, lebih-lebih lagi generasi baharu,” jelas Aisamuddin Asri, Penaung Lejenpress.

Semangat penerbit indie dalam menghasilkan naskhah bermutu dan bukannya untuk merosakkan pasaran buku dengan lambakan buku-buku ‘sampah’ yang penuh dengan perkara tidak elok, unsur lucah dan sebagainya.

Sebagai contoh, baru-baru ini buku Uqasha: Nafsu dihalang untuk dijual di Pameran Pesta Buku Kuala Lumpur 2016 kerana menjadi viral oleh sesetengah pihak yang mengatakan buku itu terlalu seksi dan mengandungi unsur lucah.

Namun, setelah diperjelaskan, tidak ada unsur seperti itu kerana jika membaca keseluruhan cerita, pelbagai kisah pengajaran dan nasihat dapat diambil seterusnya memberi manfaat kepada pembaca.

Jika bercakap mengenai seksi pada kulit buku, hanya terlihat bibir sahaja, manakala majalah lain di luar sana menunjukkan manusia berpakaian seksi sehingga menonjolkan pangkal paha dan leher tetapi masih bebas dijual.

Manakala jika menyelak hanya sehelai dua di dalam buku ini, itu tidak dapat merumuskan apa yang disampaikan. Samalah juga menonton drama Tanah Kubur, jika kita tonton pada awal cerita, semua adalah negatif, jadi kita perlu tonton sehingga kubur itu digali, barulah mesej itu sampai maksudnya.

Pada tahun 2016 ini, Lejenpress turut menerbitkan kembali karya-karya tersohor seperti karya Sasterawan Negara, A. Samad Said berjudul Langit Petang dan berjaya menandingi jualan Dewan Bahasa dan Pustaka untuk 33 tahun dengan hanya tiga bulan.

Edisi pra-tempah sahaja telah habis dijual sebelum ia sempat dijual secara fizikal. Ini menunjukkan gabungan penulis lama dan penerbit indie merupakan sebuah gandingan yang ideal di mana bukan sahaja boleh mengaut keuntungan malahan mampu mengangkat kembali karya agung lama.

Jika tiada nafas baharu dan strategi pemasaran yang dilakukan, mungkin tidak ramai daripada mereka mengenali karya Sasterawan Negara ini, begitu juga FIXI yang menerbitkan karya Usman Awang.

Itulah yang dilakukan oleh penerbit indie, selagi indie masih kekal relevan, selagi itu karya indie akan terus berada dalam pasaran dan memberi pilihan kepada pembaca tidak kira lapisan umur.

Dimensi

Artikel Berkaitan