Penyamun hotel bajet berjaya diberkas

Kewujudan hotel bajet menjadikan mereka sasaran penyamun ( Sumber gambar hiasan: Google)

Polis berjaya menumpaskan kumpulan kes samun hotel bajet yang berlaku di dearah ini ekoran penangkapan tiga suspek berbangsa Melayu baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafein Mamat berkata suspek pertama berumur 26 tahun ditahan di Kota Kemuning diikuti dua lagi suspek yang berusia 24 dan 25 tahun yang ditahan di sekitar Shah Alam.

“Kesemua suspek berjaya ditahan setelah suspek pertama disoal siasat dan membawa kepada dua lagi suspek pada keesokan hari,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Shah Alam.

Menurut beliau lagi, suspek berjaya ditahan hasil siasatan yang diambil melalui rakaman CCTV.

Shafein berkata modus operandi suspek adalah menyamar sebagai pelanggan yang ingin menyewa bilik kemudian bertindak mengeluarkan senjata.

Berhubung penangkapan ini, lima kes samun hotel bajet di sekitar Shah Alam, Klang Selatan dan Kuala Langat berjaya diselesaikan.

Kes samun yang berjaya diselesaikan ini melibatkan kerugian sebanyak RM2000 hingga RM3000.

Polis turut menemukan beberapa kunci kereta, gari, ves polis, sebilah parang dan sepucuk pistol palsu.

Ketiga-tiga suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan disahkan positif dadah.

Artikel Berkaitan