Golden Hornbill Drumline julang nama UiTM Sarawak

Tema pencak silat bawa tuah kepada Pasukan pancaragam UiTM Sarawak atau lebih dikenali Golden Hornbill Drumline

Pasukan Pancaragam Golden Hornbill berjaya menjulang nama UiTM Sarawak apabila tampil sebagai juara baharu Pertandingan Percussion UiTM Se-Malaysia, baru-baru ini.

UiTM Sarawak menumpaskan sembilan lagi pencabar yang mewakili UiTM negeri masing-masing termasuk tuan rumah, UiTM Pulau Pinang.

Pada pertandingan tahunan itu, UiTM Sarawak menampilkan tema Pencak Silat.

Pegawai Kanan Kokurikulum UiTM Sarawak, Rasli Baki yang mengakui bahawa saingan pada pertandingan itu sangat sengit berkata UiTM Sarawak mengumpul markah 82.1 iaitu hanya 0.45 di hadapan UiTM Perlis yang berada di tempat kedua manakala 1.3 markah di hadapan UiTM Pahang yang berada di tempat ketiga.

“Jika melihat dari segi persembahan dan permainan, setiap pasukan mempunyai gaya persembahan dan tema yang hebat dengan beberapa UiTM yang lain juga telah menambah dan mempertingkatkan peralatan muzik untuk memberi kesan muzik yang lebih baik terutamanya UiTM Perlis dan UiTM Shah Alam,” katanya.

Kemenangan itu membolehkan UiTM Sarawak membawa pulang RM3, 000 berserta trofi.

Katanya, kemenangan itu adalah hasil usaha keras 32 peserta bersama tenaga pengajar daripada persatuan pancaragam itu bagi merebut gelaran juara.

“Kemenangan yang dimenangi telah mengharumkan nama Persatuan Golden Hornbill Drumline, Unit Kokurikulum & HEP UiTM Sarawak sekali gus UiTM Sarawak,” ujar Rasli.

Selain juara keseluruhan, UiTM Sarawak turut meraih kemenangan bagi kategori Colour Guards Terbaik.

Sementara itu, pasukan UiTM Shah Alam pula berjaya menyandang gelaran Snare Drum Terbaik, Pit Terbaik, Cymbal Terbaik dan Quad Tom terbaik manakala UiTM Perlis dan UiTM Kelantan masing-masing memenangi kategori Bass Drum Terbaik dan Drum Major Terbaik.

Pada majlis sama, penyerahan bendera tuan rumah untuk pertandingan sama tahun depan diserahkan kepada UiTM Dungun, Terengganu.

Artikel Berkaitan