Anugerah KaryaONE Wave setaraf FFM

Antara pemenang Anugerah KaryaOne Award 2016 Sabtu lalu. Sumber: FiTA
Noraniza Idris menerima anugerah khas, Anugerah KaryaONE Legend baru-baru ini.

Noraniza Idris menerima anugerah khas, Anugerah KaryaONE Legend baru-baru ini. Sumber: FiTA

Penganjuran Anugerah KaryaONE Wave 2016 (KaryaONE) yang berlangsung baru-baru ini disifatkan sebagai setaraf dengan Festival Filem Malaysia.

Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Datuk Mohd Khusairi Hj Abdul Talib berkata program anjuran pelajar dan pensyarah Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA), Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu setanding dengan dengan anugerah berprestij.

“Saya kagum, kerana malam gala ini telah diterajui dan dikelolakan para pelajar FiTA dan disusun selia oleh pensyarah-pensyarah mereka, syabas dan tahniah diucapkan,” katanya dalam ucapan perasmian.

Sebanyak 32 kategori dipertandingkan dalam Anugerah KaryaONE Wave 2016 dengan penyertaan dari lima program pengajian FiTA (Animasi, Penulisan Kreatif, Filem Pengurusan Industri Kreatif dan Teater).

Program tersebut merupakan program tahunan FiTA yang bertujuan memberi pengiktirafan dan memberi suntikan semangat kepada pelajar dalam menghasilkan karya serta memupuk bakat dalam persada seni kreatif.

Sementara itu, Pengarah Projek Anugerah KaryaONE Wave 2016, yang juga pensyarah FiTA,  Mohd Syuhaidi Abu Bakar berkata masalah kekurangan dana bukan penghalang kepada pelajar untuk menjalankan sesebuah program, sebaliknya ia mendidik mereka untuk berdikari.

“Ada hikmahnya apabila pelajar tidak mempunyai banyak dana, mereka perlu keluar mencari sendiri dan belajar untuk mencari penajaan dalam bentuk wang ringgit atau pun barangan,

“Ia mengajar mereka untuk lebih berdikari dan berdaya saing di dalam memberikan yang terbaik bagi memastikan kejayaan majlis malam ini.” Tegas Syuhaidi.

Pada malam itu juga, penyanyi Etnik Kreatif dan Irama Malaysia, Noraniza Idris turut menerima anugerah khas, KaryaONE Legend atas sumbangan beliau selama 30 tahun dalam bidang seni etnik kreatif dan tradisional.

Malam gala itu turut dimeriahkan dengan persembahan artis tempatan seperti Mimi One Nation Emcees, Johan Eusoff, Sufian Suhaimi, Ushera dan penampilan khas seekor kucing bernama Fluffy – Dimensi News

Artikel Berkaitan