Tangki air dicemari najis burung merpati, bukan bidang kuasa Syabas

Amin Lin Abdullah mengulas lanjut laporan Dimensi berkenaan tangki air pangsapuri Sri Era, Seksyen 36, Shah Alam

Bahagian 2

Berikutan pendedahan Dimensi minggu lalu berkaitan tangki air di pangsapuri Sri Era, Seksyen 36 yang dicemari najis burung merpati, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd (Syabas) tampil membuat penjelasan berhubung perkara itu.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Air Selangor, Amin Lin Abdullah berkata penyelenggaraan tangki air di mana-mana perumahan adalah di luar bidang kuasa pihaknya.

“Syabas hanya bertanggungjawab menyelenggara paip penyambungan air yang terletak di luar bangunan pangsapuri bukannya di dalam bangunan.

“Tugas tersebut sepatutnya dilakukan kontraktor yang dilantik pengurusan pangsapuri berkenaan,” katanya.

Amin mengulas laporan Dimensi sebelum ini berhubung nasib penghuni pangsapuri Sri Era yang berdepan risiko kesihatan berikutan tangki air yang dicemari najis dan bangkai burung merpati sejak 10 tahun lalu.

Antara yang menjadi mangsa adalah seorang remaja berusia 16 tahun yang sering mengalami masalah sakit perut yang teruk sehingga cirit-birit setiap kali meminum air yang berpunca dari tangki di atas rumahnya.

Jelas Amin lagi, kebanyakan tangki air di pangsapuri menggunakan bahan gentian tetulang plastik (FRP) yang memerlukan penyelenggaraan berkala bagi mengelakkan berlakunya limpahan air dan masalah tangki tersumbat.

Justeru katanya, pihak pengurusan pangsapuri perlu memastikan kontraktor yang dilantik menjalankan kerja mereka mengikut jadual yang ditetapkan.

“Pihak Syabas hanya boleh mencadangkan nama kontraktor penyelenggaraan sekiranya ada permintaan dari pihak pengurusan pangsapuri.

“Namun begitu, Syabas tidak bertanggungjawab sekiranya kontraktor yang dicadangkan gagal menjalankan tugas mereka dengan baik,” tambahnya lagi.

Untuk rekod, setiap hari Syabas melakukan dua rondaan ke setiap rumah pam miliknya bagi memastikan air yang disalur kepada pengguna berada dalam keadaan bersih dan menepati piawaian yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Keadawaan sekitar pangsapuri Sri Era, Seksyen 36, Shah Alam

Keadaaan sekitar pangsapuri Sri Era, Seksyen 36, Shah Alam

Klik untuk berita bahagian 1 Bahana minum air tangki tercemar najis burung

Artikel Berkaitan