Hari buruh simbol kemenangan pekerja

1908, Kesatuan Buruh dan Sosialis dalam satu demonstrasi di Union Square , New York City. Sumber: Pinterest

1 Mei setiap tahun, kita sering meraikan dan gembira dengan cuti umum yang diberikan. Namun, tahukah kita sejarah serta peristiwa disebalik hari buruh ini? Adakah kita sedar bahawa cuti hari buruh merupakan satu simbol kemenangan perjuangan pekerja-pekerja dunia terdahulu?

Pelbagai versi al-kisah tercetusnya idea sambutan hari buruh yang dikongsi dari pelbagai sumber. Kisahnya bermula dengan tuntutan bekerja lapan jam di Australia pada tahun 1856. Ianya apabila pekerja-pekerja di negara tersebut mengambil sehari cuti supaya dapat melakukan perbincangan serta demonstrasi tuntuan bekerja lapan jam.

Idea bekerja lapan jam tersebut telah menjadi agenda utama perjuangan International Workingmen’s Association pada persidangannya di Geneva pada Ogos 1866. Sekaligus menyaksikan Kesatuan Buruh di Amerika Syarikat meluluskan resolusi untuk memperjuangkan hak bekerja lapan jam sehari.

Akibat dari kelulusan tersebut, banyak jawatankuasa dibentuk bagi melaksanakan tuntuan tersebut dan menyebabkan ramai majikan terpaksa menerima tuntutan itu. Akan tetapi, masih ada sesetengah majikan yang tetap berdegil dan tidak mahu menerima tuntutan itu, yang menyebabkan satu mogok umum pada 1 Mei 1886 diadakan.

Seramai 350,000 pekerja telah meninggalkan tempat kerja untuk menyertai mogok tersebut. Mogok ini juga memperlihatkan kekuatan kesatuan antara kelas pekerja Amerika Syarikat. Ia terbukti apabila pada tahun yang sama, 90,000 pekerja berhenti kerja untuk menyertai mogok yang diadakan di Chicago.

Para pekerja wanita turut turun dalam menuntut hak-hak pekerja yang dituntut. Foto: Department of Labor

Para pekerja wanita turut turun dalam menuntut hak-hak pekerja yang dituntut. Foto: Department of Labor

Ramai ketua kesatuan sekerja telah ditangkap dan dihukum oleh pihak berkuasa. Pertumpahan darah serta keganasan turut mewarnai sepanjang peristiwa demonstrasi tuntutan tersebut. Impak dari itu, perjuangan menuntut hak dan keadilan tenaga buruh telah merebak ke seluruh pelusuk dunia.

Akibat dari gerakan yang kuat serta demonstrasi berterusan semenjak tahun 1890 di serata dunia, ramai majikan tunduk dengan dua tuntutan utama iaitu waktu bekerja lapan jam sehari serta cuti sehari dalam satu minggu. Pada tahun 1919, Pertubuhan Buruh Antarabangsa bersetuju dengan waktu bekerja yang di tuntut dan mengumumkan 1 Mei sebagai hari pekerja sedunia.

Di Malaysia, sambutan hari buruh telah diumumkan pada 1972 oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Dr. Ismail Abdul Rahman. Pengumuman tersebut dibuat dalam ucapanya ketika merasmikan Seminar Kesatuan Sekerja Biro Buruh dan Kesatuan Sekerja UMNO yang diadakan dia Dewan Belia, Kampung Pandan Pada 20 Mei 1972.

Tahun ini merupkan tahun ke-47 hari pekerja disambut di negara ini. Dengan tema “Pekerja Berkemahiran, Penggerak Ekonomi” sambutan kali ini terus memartabat pekerja sebagai aset negara yang berharga.

Foto: Google image

Foto: Google image

 

Artikel Berkaitan